LIMA Pusat Pembangunan Bola sepak telah ditubuh melibatkan 13 buah sekolah menengah untuk mencari pemain bola sepak muda yang berbakat di bahagian Miri.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sekolah-sekolah tersebut adalah Pusat Pembangunan Baram (SMK Telang Usan, SMK Tinjar dan SMK Long Lama), Pusat Pembangunan Subis (SMK Subis, SMK Bekenu, dan SMK Luar Bandar, Pusat Pembangunan Lambir (SMK Riam dan SMK Taman Tunku, Pusaty Pembangunan Permy (SMK Merbau dan SMK Pujut) dan Pusat Pembangunan Bandar (SMK ST Columba, SMK ST Joseph dan SMK Chung Hua Miri) Program tersebut diadakan dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC).

“Pemain yang baik tidak dapat dicipta dalam sekelip mata, sebaliknya bakat dan kemampuan semula jadi harus dipupuk agar pemain muda dapat memenuhi potensi mereka,” katanya.

Karim yakin melalui formasi Pusat Pembangunan Bola sepak tersebut dapat menjadi platform terbaik untuk mencari pemain terbaik berpotensi dan cemerlang dalam arena bola sepak.

Katanya, kementeriannya selalu memberikan sokongan untuk membantu menaikkan belia di Sarawak dalam bidang sukan dan tidak ada yang terkecuali termasuk sukan bola sepak.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting dan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Miri Nazri Datuk Ahmad Lai.