DALAT: Produk kraftangan terendak kini mempunyai nilai komersil tinggi dan berpotensi diketengahkan ke pasaran luar.

Sehubungan itu, pengusaha terendak perlu bersedia untuk memenuhi permintaannya yang semakin tinggi, jelas Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah.

Menurut ADUN Dalat itu, terendak atau ‘Tapow’ dalam bahasa Melanau telah melalui transformasi di mana ia kini dijadikan sebagai cenderahati dan berubah dari segi saiz dan warna hasil gabungan kreativiti pengusaha muda dan lama.

“Memang perlu kita adakan usaha untuk memastikan bahawa penghasilan ini (terendak) secara berterusan dan jumlahnya adalah besar, dapat memenuhi dari segi permintaannya.

“Untuk itu kita perlu lebih ramai lagi artisan-artisan. Yang sekarang ini ada 14 orang. Sebagai permulaan, kita boleh adakan kursus bagi orang muda untuk menguasai kemahiran dan bila lebih ramai tahu membuat terendak, lebih banyak hasilnya.

“Kita juga boleh memasarkannya secara atas talian dengan bantuan orang muda di luar kampung dan Sarawak,” katanya ketika ditemuramah semasa lawatan ke Kampung Tanam, Dalat hari ini.

Menurut Dato Sri Hajah Fatimah, terendak yang dihasilkan akan dipasarkan di Bazarnita Dalat.

“Bazarnita Dalat ada 32 lot, satu lot memang disediakan khas untuk perusahaan terendak.

“Jika ada pelancong dari luar, demonstrasi pembuatan terendak akan diadakan, mereka akan tunjuk cara ia dihasilkan.”

Pada lawatan itu, Dato Sri Hajah Fatimah sempat melawat pengusaha terendak dikenali sebagai ‘The Tapow Ladies Of Kampung Tanam’ yang telah menyiapkan 183 buah terendak untuk dijadikan perhiasan dalaman dalam bangunan Bazarnita Dalat.

Projek Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) SEB itu telah bermula sejak Mac dan siap sepenuhnya pada Ogos tahun ini.

Dato Sri Hajah Fatimah turut berkesempatan meninjau projek Tebingan Kampung Dalat.

Terendak miliki nilai komersil, mampu tembusi pasaran luarDALAT: Produk kraftangan terendak kini mempunyai nilai…

Posted by Unit Komunikasi Awam Sarawak-UKAS on Friday, September 18, 2020