MIRI: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) yang telah ditubuhkan sejak tahun 1972 merupakan sebuah badan belia bebas politik yang terbuka untuk semua bangsa di Sarawak, kata Presiden SABERKAS Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Karim berkata, beliau dapat melihat perwakilan-perwakilan yang terlibat dalam program dan aktiviti di SABERKAS datangnya daripada seluruh suku kaum di Sarawak seperti Melayu, Cina, Iban, Bidayuh, dan Orang Ulu.

“Keunikan SABERKAS boleh dikatakan sebagai satu landasan untuk memilih kepimpinan-kepimpinan baharu negeri Sarawak pada masa akan datang.

“Kita dapat melihat ramai kepimpinan-kepimpinan negeri Sarawak daripada dahulu hingga sekarang berjinak dengan SABERKAS, berkhidmat untuk masyarakat. Dan daripada itu, mereka telah diangkat menjadi calon dalam pilihan raya dan sebagainya,” katanya pada satu sidang media di sini, Sabtu.