KUCHING: Kerajaan Sarawak membayar pampasan tanah kepada penduduk mengikut nilai semasa, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, apabila tanah penduduk digunakan oleh kerajaan untuk membuat projek pembangunan, pampasan akan dibayar mengikut nilai semasa.

“Jadi, terima kasih kepada rakyat yang memberikan kerjasama kepada kerajaan untuk projek pembangunan apabila melibatkan kampung.

“Tahniah kepada penerima yang mendapat pampasan dan kita bersyukur kerana dapat menjalankan tadbir urus negeri ini dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan cek pampasan tanah bagi projek pembesaran Kampung Segedup di sebuah hotel terkemuka di sini semalam.

Adun Satok itu berkata, pada Khamis, Sarawak melakarkan sejarah tersendiri apabila menerima bayaran cukai petroleum daripada Petronas sebanyak RM2.9 bilon.

“Selagi saya dan Fadillah (Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof) menjadi wakil rakyat di kawasan anda (penerima pampasan dari Kampung Segedup), kita akan memberi kemudahan serta perubahan di kawasan Kuching.

“Kita akan cari jalan terbaik untuk membangunkan Sarawak agar menjadi negeri termaju dalam Malaysia menjelang tahun 2030,” jelasnya.

Terdahulu, Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Kuching Alfian Bawi berkata, sebanyak 152 projek pengambilan balik tanah di Kuching dalam tempoh tiga tahun sejak 2017.

“Pengambilan balik tanah ini melibatkan 650 lot dengan bayaran pampasan sebanyak RM283 juta.

“Bagi tahun 2020, sebanyak 57 projek pengambilan balik tanah dilaksanakan apabila 22 daripadanya telah siap dengan pampasan berjumlah RM30.4 juta termasuk projek pembesaran Kampung Segedup,” ujarnya.

Katanya, pemilik tanah Kampung Segedup berpuas hati dengan pampasan yang diberi serta menyokong sepenuhnya projek pembangunan di kawasan mereka.

“Ini membuktikan bahawa JTS menilai tanah bagi projek pengambilan balik tanah setimpal dengan nilai pasaran semasa.

“Jadi, kerjasama yang diberikan oleh penduduk Kampung Segedup harus menjadi teladan kepada penduduk kampung-kampung lain,” katanya. Hadir sama, Fadillah dan Timbalan Ketua PBB Cawangan Satok Datuk Ibrahim Baki.