BAU: Kerajaan Sarawak sentiasa mengiktirafkan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang sahih, dan berdasarkan perundangan di bawah seksyen tanah negeri yang sedia ada, di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pengiktirafan itu bukan sahaja dibuat pada masa ini sahaja, malah ia akan dibuat secara berterusan.

“Selain mengiktirafkan tanah NCR, kita juga membantu masyarakat di Sarawak untuk menyukat tanah mereka melalui dua kaedah iaitu perimeter dan individu. Penyukatan tanah itu dilakukan dengan peruntukan yang disediakan oleh kerajaan yang berjumlah RM40 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada  Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri Sarawak, di sini hari ini.

Bagaimanapun ada sesetengah pihak yang kononnya beranggapan bahawa kaedah menyukat tanah secara perimeter merupakan helah kerajaan untuk merampas tanah berkenaan.

“Anggapan ini salah, tetapi ini adalah cara untuk kerajaan membantu rakyat bagi mempercepatkan penyukatan tanah itu dilakukan,” katanya sambil menambah, ia merupakan salah satu komitmen kerajaan bagi memastikan keluasan tanah mereka mempunyai sempadan yang jelas dan tidak akan diceroboh orang lain.

Oleh sebab itu, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memperkenalkan kaedah ini untuk menyukat tanah NCR ini supaya proses sukat tanah ini dapat dilakukan dengan cepat, katanya.

Inisiatif baharu ini dalam menyukat tanah ini diperkenalkan pada tahun 2010 lebih efisien kerana berjaya menyukat tanah di seluruh negeri untuk kaum Bumiputera lebih daripada 943,000 hektar tanah dan yang sudah diwartakan lebih 750,000 hektar.

Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II berkata, pelaksanaan bagi menyukat tanah melalui kaedah ini tidak dilakukan secara paksaan, malah ia dilakukan berdasarkan permohonan yang diterima dalam kalangan masyarakat.

Kerajaan akan mengadakan dialog dengan mereka yang terlibat terlebih dahulu, supaya mereka jelas berkenaan keluasan, keadaan serta sempadan tanah miliknya.

Berbanding kaedah menyukat dengan cara lama, bermula tahun 60-an hingga 2010, seluas 260,000 hektar tanah sahaja berjaya disukat. Ini bermakna dalam tempoh satu tahun, kerajaan berjaya menyukat sekitar 5,200 hektar tanah sahaja.

Sehubungan itu, melalui kaedah baharu untuk menyukat tanah ini, ia lebih efisien dan penting untuk menentukan sempadan dan keluasan tanah yang dimiliki tersebut adalah jelas.

19/9 Kaedah baharu sukat tanah lebih efisien BAU: Kerajaan Sarawak sentiasa mengiktirafkan Tanah Hak Adat Bumiputera…

Posted by Jiwa Bakti on Saturday, September 19, 2020