KUCHING: Lima premis di kawasan sekitar Kuching dikenakan pemotongan bekalan elektrik selepas didapati menjalani kegiatan perjudian dalam talian secara haram, pada Jumaat.

Operasi Bersepadu itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan Ibu Pejabat Daerah Kuching bersama kakitangan Sarawak Energy Berhad(SESCO) sekitar jam 9 pagi hingga 12.30 tengah hari.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Supt Merbin Lisa, tindakan tersebut dilakukan sejurus pemeriksaan awal pasukan mengesahkan premis-premis itu dikenal pasti terlibat dalam aktiviti perjudian tanpa lesen.

“Tindakan kita ini adalah berdasarkan alasan yang munasabah di mana kesemua premis itu didapati menjalani aktviti perjudian tidak berlesen.

“Jadi pihak operasi telah membuat permintaan untuk pemotongan elektrik dilakukan di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” jelasnya menerusi satu kenyataan.

Tambahnya, sebanyak empat lagi premis turut disyaki menjalani kegiatan sama telah diserbu hasil tiga hari operasi bermula 16 September hingga hari ini.

Susulan itu katanya, siasatan terperinci bagaimanapun masih dijalankan di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang mana memperuntukan denda RM5,000 hingga RM50,000 dan hukaman penjara hingga 3 tahun jika sabit kesalahan.

Ujarnya, kesemua sabjek yang ditahan telah direman dan masih dalam siasatan pihak polis.