KUCHING: Berkuat kuasa Isnin, warganegara dan bukan warganegara yang memasuki negeri ini melalui Sabah perlu menjalani ujian saringan Covid-19 tiga hari sebelum memulakan perjalanan.

Mereka juga diminta mengisi borang ‘EnterSarawak’ secara dalam talian.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada sidang media harian Covid-19 pada Jumaat berkata, warganegara memasuk Sarawak dari Pulau Pinang menjalani ujian saringan secara rawak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Sementara itu, menurut beliau bagi rakyat Sarawak yang pulang dari luar negara dikuarantin di First Point of Entry di Sarawak dan tidak dibenar transit ke destinasi terakhir.

Bagi rakyat Sarawak yang berulang alik ke Brunei dan Sabah, mereka perlu mengambil surat khas dari Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian masing-masing dan perlu menjalani ujian saringan setiap dua minggu dan mengamalkan SOP.