BEIJING: China memberi amaran ‘sedia untuk perang’ ekoran AS menghantar 11,000 tenteranya ke Pasifik barat menyertai latihan ketenteraan besar-besaran.

Menurut The Sun, AS menghantar tentera dengan kapal perang terbesar serta 100 pesawat ke wilayah Pasifik barat mengundang amarah China.

Laporan menyebut tentera AS memulakan latihan tentera 10 hari di Guam membabitkan pasukan tentera darat, laut dan udara bagi melatih tentera mempertahankan wilayah Pasifik.

Latihan ketenteraan itu diumumkan pada masa yang sama ketika Global Times iaitu portal berita disokong Parti Komunis China, mendesak penduduk tempatan siap sedia menghadapi perang.

Portal itu menegaskan China berdepan tuntutan wilayah dengan beberapa negara jiran yang dihasut AS mencabar Beijing.

“China harus berani terlibat dengan tenang dalam perang melindungi kepentingan inti dan siap menanggung akibatnya,” katanya.

Perkara itu ditegaskan ketika tentera AS meningkatkan operasinya di wilayah Indo-Pasifik.