KALABAKAN: Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menolak dakwaan bahawa BN gagal membawa pembangunan di Sabah ketika berkuasa.

Perlu diingat, menurutnya, BN ialah parti yang memerintah sebelum ini maka jika ada dakwaan BN tidak melakukan apa-apa untuk Sabah bermakna tidak benar.

“Kalau nak kata BN tak buat apa-apa untuk negeri Sabah adalah tidak betul. Ini kerana apa-apa pembangunan yang ada sekarang ini di Sabah adalah hasil dari BN sebaliknya tidak ada perkara yang baru sepanjang pentadbiran kerajaan Warisan 26 bulan.

“Cuma yang agak terkilan apabila Warisan berkuasa, perancangan yang telah dibuat oleh BN sebelum jatuh 26 bulan lalu adalah untuk merubah landskap ekonomi dan sosial negeri Sabah dengan memperkenalkan Pan Borneo yang merupakan satu projek besar, yang akan memberikan perubahan transformasi radikal kepada kesejahteraan rakyat Sabah dihentikan,” ujarnya seperti dipetik portal Umno.

Jelasnya yang juga Ketua Pemuda UMNO Malaysia, projek ini bukan saja memberikan kesan kepada ekonomi yang besar tetapi dapat mewujudkan satu perubahan landskap sosio ekonomi kepada Sabah.

“Ini yang direncanakan, tetapi apabila BN yang berkuasa pada waktu itu dinafikan dan dikhianati, ditukar kepada kerajaan Warisan maka semuanya terhenti.

“Sudah tentu rakyat mengharapkan projek-projek tersebut diteruskan kerana ia bukan untuk kerajaan, bukan juga untuk kroni tetapi untuk rakyat yang akan memberikan peluang pekerjaan dan kesan gandaan ekonomi dengan mengubah daripada Utara ke Selatan, Timur dan Barat Sabah, yang boleh duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negeri-negeri lain di Semenanjung… tapi projek ini tergendala dan terhenti kerana pelbagai persepsi yang cuba ditimbulkan oleh kerajaan Warisan dan yang jadi mangsa adalah rakyat.

“Sebab itu rakyat khususnya golongan muda mahu ubah balik,” tegasnya. 

Berkaitan Elaun Sara Hidup Nelayan dari RM250 kepada RM300 sebulan yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau menjelaskan bahawa ia adalah adalah bantuan yang terhenti apabila PH mengambil alih kerajaan.

“Ia diteruskan semula sebab dahulu ketika BN bantuan-bantuan ini diberikan dan PH menghentikan segala bantuan kepada nelayan, sebab itu ramai yang susah. Bagi saya inilah masa untuk Perikatan Nasional dan Barisan Nasional walaupun kerajaan yang wujud ini adalah hasil keruntuhan PH tapi apa yang kita boleh bantu rakyat maka kita bantulah,” katanya lagi.