KUCHING: Tiga kekosongan jawatan Pegawai Pemulihan Perubatan Pertuturan U41 dan satu kekosongan jawatan Jurupulih Perubatan Fisioterapi U29 diperlukan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak untuk Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK).

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, setakat tahun ini, JKMS telah melantik 12 jurupulih perubatan.

“Jumlah itu merangkumi seorang jurupulih pertuturan dan percakapan, enam ahli terapi pekerjaan dan lima ahli fisioterapi.

“Bilangan ini sudah semestinya tidak mencukupi kerana Sarawak mempunyai 55 PDK dan pegawai tersebut terpaksa dibahagikan kepada beberapa zon,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada Program Lawatan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Edisi Sarawak di PDK Sentuhan Kasih di sini, semalam.

Fatimah berkata, Pegawai Pemulihan Perubatan Pertuturan U41 amat diperlukan kerana hanya terdapat seorang untuk seluruh negeri ini yang ditempatkan di JKM Sarawak.

Untuk itu, beliau berharap Kerajaan Persekutuan dapat menyediakan lebih ramai jurupulih perubatan untuk OKU di Sarawak kerana ahli fisioterapi yang dilatih secara profesional juga akan diberi gaji mengikut kelayakan.

Sementara itu, beliau menjelaskan bahawa seramai 1,733 OKU dari 55 PDK berada di pusat tersebut, manakala 351 orang mengikuti sesi pemulihan di rumah.

Daripada jumlah tersebut, seramai 355 petugas di seluruh PDK Sarawak. “Mengenai elaun, penyelia hanya menerima RM1,200 dan petugas menerima RM800.

Elaun ini tidak digelar sebagai gaji untuk pekerja di PDK.

“Tetapi hakikatnya, mereka ini bertugas setiap hari dan hanya bergantung sepenuhnya kepada elaun yang agak sedikit berbanding tugas harian,” ujarnya.

Jelas Fatimah, sudah tiba masanya elaun petugas dan penyelia itu bertukar kepada gaji sesuai dengan kemahiran, latihan profesional dan kelayakan petugas tersebut.

Menurutnya lagi, pemberian gaji mengikut gred amat penting kerana sukar untuk mengekalkan petugas supaya terus bersamasama JKM sekiranya mereka mendapat tawaran yang lebih baik dari tempat lain.

“Perkara ini sudah semestinya akan merugikan anak-anak dan ibu bapa yang mengharapkan bantuan yang diberikan untuk pemulihan golongan tersebut,” jelasnya lagi.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusof; Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat Zulkifli Ismail dan Ketua Pengarah Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Abdul Shukur Abdullah.