KUCHING: Kerajaan Sarawak akan terus merangka strategi dan melaksanakan inisiatif baharu dalam usaha menarik pelaburan untuk meningkatkan ekonomi Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ini termasuk mendigitalkan proses kelulusan untuk menyelaraskan projek pelaburan, mengurangkan kerenah birokrasi dan mempunyai  penglibatan bersama-sama pihak berkepentingan dengan pemain industri.

“Sarawak juga mempelopori pembangunan bahan bakar hidrogen untuk kenderaan sebagai sebahagian daripada usaha kami untuk membangunkan Ekonomi Hijau.

“Oleh itu, kami juga ingin mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk memberikan pengecualian cukai kenderaan yang menggunakan bahan bakar hidrogen untuk mendorong penggunaan bahan api bersih ini,” katanya semasa berucap pada ‘Industry Engagement Session With Minister Of Finance’ di Kuching, Khamis.

Menteri Kewangan Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz hadir selaku tetamu kehormat pada program tersebut. Hadir sama, Menteri Kanan Infrastruktur yang juga Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan berkata, Kerajaan Sarawak pada masa ini sedang melakukan kajian dan pembangunan (R&D) untuk bahan bakar hidrogen.

Sehubungan itu, beliau berharap Kerajaan Persekutuan dapat memberi peruntukan kepada Kerajaan Sarawak untuk tujuan ini.

Di samping itu, katanya, Sarawak mempunyai banyak kelebihan perbandingan untuk pelaburan kerana menawarkan tarif elektrik dan air yang berdaya saing serta kadar tanah  berpatutan.

Bagaimanpun, ujarnya, ini sahaja tidak cukup untuk menarik pelaburan, terutamanya pelaburan langsung asing (FDI).

“Oleh kerana Sarawak terletak di Pulau Borneo, maka eksport dan import barang kami terpaksa melalui Pelabuhan Klang yang akan dikenakan kos logistik tambahan.

“Rangkaian jalan raya yang lemah di Sarawak juga menambah kos pengangkutan yang tinggi. Semua caj ini akan menambah kos menjalankan perniagaan dan memberi kesan kepada pengguna,” katanya.

Oleh itu, katanya, Kerajaan Sarawak sangat menghargai jika lebih banyak dana daripada Kerajaan Persekutuan kepada Sarawak untuk memperbaiki infrastruktur termasuk memberi insentif cukai yang lebih baik untuk mengimbangi kos logistik yang tinggi.

“Kita perlu meningkatkan lagi infrastruktur, termasuk pelabuhan laut dalam, yang sudah pasti lebih banyak persaingan,” ujarnya.

17/9 Sarawak rangka strategi baharu tarik pelaburan – Awang Tengah KUCHING: Kerajaan Sarawak akan terus merangka…

Posted by Jiwa Bakti on Thursday, September 17, 2020