Malaysia yang dibentuk pada 1963 sudah berusia 57 tahun. Banyak perubahan dari segi sosio-politik negara sudah berlaku dalam tempoh masa 57 tahun.

Namun, perubahan yang berlaku pada 2018 selepas PRU14 apabila berlaku pertukaran kerajaan di peringkat persekutuan, adalah suatu “turning point” yang membawa impak amat mendalam kepada iklim sosio-politik negara yang harus dilihat dalam perspektif yang positif kepada usaha berterusan untuk memperkasakan pembangunan negara ini.

Syukur alhamdullilah, Sarawak sebagai sebuah entiti politik telah memainkan peranan yang penting untuk memastikan negara ini mampu distabilkan semula dan terbentuknya sebuah Kerajaan pimpinan YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang terus menggalas tanggungjawab untuk mentadbir negara dengan berkesan.

Atas kehendak ini, Kerajaan GPS telah memutuskan untuk memberi sokongan kepada YAB Tan Sri Perdana Menteri kerana Sarawak tidak ingin melihat Malaysia terjejas daripada keadaan yang tidak menentu.

Bagi pihak rakyat Sarawak saya mengucapkan syabas dan terima kasih kepada kerajaan di peringkat persekutuan sebagai sebuah kerajaan yang functional yang memahami aspirasi dan kehendak rakyat.

Kejayaan Malaysia mengekang penularan wabak COVID-19 membuktikan kerajaan pimpinan YAB Tan Sri Muhyidin mampu mentadbir negara seperti yang diharapkan oleh rakyat.

Sarawak juga mengalukan-alukan dan mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas pelbagai kategori Bantuan Perihatin Nasional (BPN) yang telah dihulurkan kepada golongan yang terkesan oleh wabak COVID-19 untuk meringankan beban mereka.

Dari perspektif Sarawak, negara ini harus berbalik kepada fundamental yang telah diletakkan sebagai asas penubuhan negara ini seperti yang termaktub dalam Perlembangaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 dan Laporan IGC.

Saya yakin bahawa pengiktirafan terhadap fundamental ini akan memperkukuhkan lagi semangat kenegaraan kesemua bahagian negara ini terhadap Malaysia, dan bukan sebaliknya. Percayalah, melabelkan, khususnya Sarawak sebagai parochial atau kedaerahan tidak akan membantu penyatuan negara.

Sarawak, dan Sabah pastinya hanya mahu kuasa-kuasa yang terhakis, secara sengaja atau tidak sengaja, dikembalikan. Itu sahaja, nothing more and nothing less.

Namun, saya mengucap terima kasih kepada persetujuan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam beberapa perkara setakat ini termasuk:

• Obligasi kewangan Persekutuan di bawah Senarai Bersama diangkat dan dibincangkan di dalam Majlis Kewangan Negara

• Semakan semula Pemberian Khas Kewangan kepada Negeri

• Royalti Minyak dan Pembayaran Tunai Petroleum dan perkara berkaitan minyak dan gas dibincang bersama antara YAB Perdana Menteri dan Ketua Menteri

• Kuasa Pembekalan gas diberi kepada Negeri Sarawak

• Pemantapan kolaborasi antara Kerja raya Persekutuan dan Negeri

• Memberi kuasa kepada negeri untuk membuat peraturan-peraturan tenaga buruh di bawah Ordinan Buruh

• Penubuhan jawatankuasa khas Kesihatan untuk membincangkan perkara berkaitan dengan isu kesihatan di Sarawak.

• Perwakilan kuasa pelancongan kepada Negeri dilaksanakan secara “case to case basis”.

• Pemberian kuasa penuh secara berfasa di bawah subjek alam sekitar dibuat kepada Kerajaan Negeri berdasarkan peruntukan di bawah 95C tanpa memerlukan sebarang pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Tempoh masa 1963 hingga 1970 adalah era yang amat mencabar bagi negeri Sarawak. Sarawak telah berhadapan dengan konfrontasi Indonesia dan ancaman komunis. Bantuan Kerajaan Persekutuan dan sahabat dalam Commonwealth dari segi keselamatan telah memastikan semua cabaran ini dapat diatasi dengan jayanya.

Selepas 1970, dengan sebuah kerajaan campuran yang terbentuk melibatkan kaum bumiputera dan kaum Cina, Sarawak beransur-ansur beralih ke era yang lebih stabil dan mampu memberi tumpuan kepada usaha pembangunan.

Tidak dapat dinafikan banyak yang sudah dicapai oleh Sarawak sebagai sebahagian daripada Malaysia dalam tempoh masa 57 tahun. Namun, tidak dapat dinafikan juga bahawa Sarawak juga belum lagi mampu mengejar pembangunan khususnya di Semenanjung Malaysia.

Apa yang penting bagi Sarawak ialah negeri ini harus terus mengorak langkah untuk meletakkan negeri ini di persada pembangunan yang lebih intensif agar mampu menjadi sebuah negeri yang maju menjelang 2030.

Berdasarkan aspirasi ini Kerajaan GPS sedang berusaha sedaya upaya untuk memajukan Sarawak dalam bidang-bidang berikut berteraskan ekonomi digital dan kelestarian alam sekitar, iaitu:

• Pertanian komersil
• Aktiviti pengeluaran
• Perlombongan
• Industrial Forest Plantation
• Pelancongan
• Perkhidmatan
• Pusat Data dan Innovasi
• Infrastruktur dan Utiliti
• Tenaga yang boleh diperbaharu
• Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia

Terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan pimpinan YAB Tan Sri Muhyiddin yang memahami aspirasi rakyat Sarawak untuk menggunakan hasil buminya bagi tujuan melaksanakan pelbagai program pembangunan di negeri ini.

Petronas telah memberi komitmen untuk menjelaskan SST 5% kepada Kerajaan Sarawak dan mengiktiraf hak Sarawak untuk mengenakan cukai jualan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan berdasarkan Oil and Mining Ordinance, 1958. Dari aspek komersil, terutamanya untuk membangunan industri petrokimia di Sarawak, Kerajaan Sarawak mengambil sikap “win-win” kerana konfrontasi yang berterusan akan membawa kerugian kepada semua.

Sebagai mengakhiri ucapan ini, saya bagi pihak Kerajaan dan rakyat Sarawak mengucapkan terima kasih sekali lagi kepada YAB Perdana Menteri serta seluruh barisan kepimpinan dari Kerajaan Persekutuan dan Sabah atas kesudian untuk bersama-sama rakyat meraikan hari kelahiran Malaysia yang ke-57 pada malam ini di bandar Sibu.

Saya amat berharap seluruh rakyat Malaysia akan mengenali dan mengiktiraf signifikan 16 September sebagai tarikh penubuhan Malaysia selain daripada Hari Kebangsaan pada 31 Ogos.

Saya juga ingin mengucapkan sekali lagi setinggi-tinggi penghargaan kepada Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Berbahagia Toh Puan yang telah sudi hadir bersama rakyat dalam majlis yang penuh makna ini.

Sekian, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.