SIBU: Negara ini harus berbalik kepada  tonggak yang telah diletakkan sebagai asas penubuhan negara ini seperti yang termaktub dalam Perlembangaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 dan Laporan IGC, menurut Ketua Menteri Datuk patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Saya yakin bahawa pengiktirafan terhadap fundamental ini akan memperkukuhkan lagi semangat kenegaraan kesemua bahagian negara ini terhadap Malaysia, dan bukan sebaliknya,”  katanya dalam ucapan pada majlis sambutan Hari Malaysia 2020, di Stadium Tertutup Sibu, di sini, malam tadi.

“Percayalah, melabelkan, khususnya Sarawak sebagai parochial atau kedaerahan tidak akan membantu penyatuan negara,” tegasnya.

Beliau berkata, Sarawak dan Sabah pastinya hanya mahu kuasa-kuasa yang terhakis, secara sengaja atau tidak sengaja, dikembalikan.

“Itu sahaja,  tidak lebih tidak kurang,” katanya lagi.

Beliau mengakui tempoh masa 1963 hingga 1970 ialah era yang amat mencabar bagi negeri Sarawak.

“Malaysia yang dibentuk pada 1963 sudah berusia 57 tahun. Banyak perubahan dari segi sosiopolitik negara sudah berlaku dalam tempoh masa 57 tahun,” akuinya.

Namun, perubahan yang berlaku pada 2018 selepas PRU14 apabila berlaku pertukaran kerajaan di peringkat persekutuan, adalah suatu “turning point” yang membawa impak amat mendalam kepada iklim sosio-politik negara yang harus dilihat dalam perspektif yang positif kepada usaha berterusan untuk memperkasakan pembangunan negara ini.

Beliau menjelaskan  Sarawak telah berhadapan dengan konfrontasi Indonesia dan ancaman komunis.

“Bantuan Kerajaan Persekutuan dan sahabat dalam Commonwealth dari segi keselamatan telah memastikan semua cabaran ini dapat diatasi dengan jayanya,” katanya.

Katanya lagi, selepas 1970, dengan sebuah kerajaan campuran yang terbentuk melibatkan kaum bumiputera dan kaum Cina, Sarawak beransur-ansur beralih ke era yang lebih stabil dan mampu memberi tumpuan kepada usaha pembangunan.

“Tidak dapat dinafikan banyak yang sudah dicapai oleh Sarawak sebagai sebahagian daripada Malaysia dalam tempoh masa 57 tahun. Namun, tidak dapat dinafikan juga bahawa Sarawak juga belum lagi mampu mengejar pembangunan khususnya di Semenanjung Malaysia,’ katanya.

“Apa yang penting bagi Sarawak ialah negeri ini harus terus mengorak langkah untuk meletakkan negeri ini di persada pembangunan yang lebih intensif agar mampu menjadi sebuah negeri yang maju menjelang 2030,” ujarnya.