KUCHING: Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan anak-anak syarikatnya telah menyelesaikan pembayaran Cukai Jualan Negeri (SST) ke atas produk petroleum bagi tahun 2019 yang berjumlah lebih RM2.9 bilion, hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, tuntutan itu adalah seperti mana yang dinilai oleh Kontroler Cukai Jualan Negeri serta ketentuan Ordinan Cukai Jualan Negeri Sarawak 1998.

“Sementara, SST bagi tahun 2020 pula akan dibayar apabila penilaian dibuat berdasarkan jumlah produk petroleum, iaitu minyak mentah, kondensat, urea dan gas petroleum cecair yang benar-benar dijual dan nilai penjualan produk tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian sidang media sempena penyerahan cek hasil SST daripada PETRONAS kepada Kerajaan Sarawak di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Katanya, jumlah keseluruhan yang perlu dibayar ialah lebih RM4 bilion dan setakat ini, PETRONAS akan membayar RM2.9 bilion terlebih dahulu.

Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Sarawak pada masa ini akan fokus pada perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan untuk mencapai penyelesaian komersial mengenai hal-hal lain berkaitan dengan minyak dan gas yang dijumpai dan dihasilkan di Sarawak.

Turut Hadir Menteri Kewangan Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Pengerusi PETRONAS Tan Sri Ahmad Nizam Salleh, Menteri Kanan Infrastruktur, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ahli Lembaga Pengarah PETRONAS, Dato Ibrahim Baki.

17/9 PETRONAS bayar SST RM2.9 bilionKUCHING: Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan anak-anak syarikatnya telah…

Posted by Jiwa Bakti on Thursday, September 17, 2020