KUCHING: Bersempena Hari Malaysia, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) DUN Satok telah mengadakan ziarah dan menyampaikan sumbangan kepada penduduk yang kurang bernasib baik di Jalan Rubber di sini.

Menurut Timbalan Ketua Cawangan PBB DUN Satok Datuk Ibrahim Baki, sebuah rumah yang mempunyai empat orang adik beradik berbangsa Cina telah diziarah dan disampaikan sumbangan berupa wang tunai dan barangan keperluan harian.

“Dalam kita meninjau, kita juga berjumpa dengan masyarakat yang kurang berupaya yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan membantu mereka mengikut kemampuan yang ada.

“Inilah teladan masyarakat kita di Sarawak, tidak kira bangsa, budaya dan agama, sentiasa tolong-menolong antara satu sama lain walau dalam apa cara sekalipun.

“Di Sarawak, beginilah kehidupan kita. Walaupun kita Melayu, Cina, Iban, Bidayuh dan sebagainya masing-masing kenal budaya dan hormat antara sesama kita,” katanya semasa ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada 4 keluarga dalam Program Satok Prihatin pada Rabu.

Sementara itu, Pengerusi Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Satok Goh Leng Yeu berkata, penguatkuatkuasaan PKP akibat COVID-19 benar-benar telah memberi kesan kepada keadaan kehidupan dan sosioekonomi penduduk.

“Kesan penularan COVID-19 ini telah menyebabkan ramai di kalangan masyarakat yang hilang pekerjaan dan sekali gus tiada punca pendapatan. Ini menyebabkan mereka hidup susah selepas hilang pekerjaan.

“Kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah bekerja keras untuk mengurangkan beban masyarakat yang terkesan akibat dari penularan wabak COVID-19.

“Justeru, kami berusaha sedaya upaya untuk membantu mereka yang terkesan akibat COVID-19 khususnya dalam memberikan sumbangan berupa wang tunai dan barangan keperluan harian,” katanya.

Bagi Chiew Lan Teck, 62 tahun yang sebelum ini pernah bekerja di kedai kopi telah hilang pekerjaan akibat kesan COVID-19 selepas PKP selama tiga bulan itu.

“Saya berasa gembira di atas bantuan dan sumbangan yang diberikan kepada kami sekeluarga.

“Walaupun kita berlainan bangsa, tetapi kita tetap saling menghormati dan berkomunikasi sesama kita tanpa membezakan bangsa.

“Kita sentiasa memastikan setiap pertolongan itu dilakukan itu adalah adalah ikhlas,” katanya.

Selain PBB DUN Satok, turut serta SUPP Cawangan DUN Satok dan Persatuan Kebajikan Petra Jaya yang sama memberikan sumbangan.