PUSA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia sentiasa berusaha memastikan mana-mana masyarakat di Sarawak yang layak menerima bantuan dibantu tanpa ada pilih kasih.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff menjelaskan Negeri Sarawak tetap menjadi perhatian dan akan mempertimbangkan segala bentuk permohonan dan rayuan yang dibuat oleh rakyat di bawah.
Justeru, beliau berharap semua ketua masyarakat dan NGO setempat menjadi mata dan telinga kepada kementerian selain menyampaikan maklumat berkaitan kementerian kepada masyarakat.
Ia penting kerana kerajaan tidak mahu ada seorang pun yang tertinggal daripada mendapat bantuan dan manfaat yang diberikan, tambahnya lagi.
Datuk Siti berkata demikian semasa Program Penyampaian Taklimat Inisiatif Kementerian Pembangunan Keluarga dan Masyarakat Malaysia di Dewan Masyarakat Kampung Kalok, Pusa hari ini.
Sementara itu, Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Francis Harden Hollis berkata terdapat 12 Jabatan Kebajikan Masyarakat yang ada di setiap bahagian di Sarawak yang berperanan membantu golongan kurang bernasib baik.
Ujar beliau, Negeri Sarawak telah menyediakan pelbagai inisiatif bantuan yang belum ada di Kerajaan Persekutuan antaranya ialah Kenyalang Gold Kad untuk warga emas berumur 60 tahun ke atas.
Ini termasuk bantuan ibu bersalin diberikan kepada ibu warganegara Sarawak berjumlah RM450.
Datuk Francis juga memohon agar pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia sentiasa turun padang meninjau segala permasalah yang ada bukan hanya di DUN Beting Maro malah di kawasan DUN lain.
Hadir sama Penasihat di Jabatan Ketua Menteri Sarawak merangkap Ahli Parlimen Batang Lupar, Dato Sri Rohani Abdul Karim.