BINTANGOR: Penyediaan perkhidmatan Internet berkelajuan tinggi sangat penting dalam usaha memacu ekonomi digital di Negeri Sarawak khususnya di kawasan luar bandar.
Justeru, ADUN Meradong Datuk Ding Kuong Hiing yakin dengan penyediaan perkhidmatan Internet Unifi di Bintangor akan memberi manfaat kepada komuniti perniagaan serta penduduk di daerah itu agar mampu bergerak seiring dengan penduduk di kawasan lain.
Katanya, pembangunan infrastruktur digital di Bintangor bukan sahaja membantu melonjakkan pendapatan isi rumah malah turut meningkatkan ekonomi penduduk di samping memperbaiki taraf hidup rakyat.
Ujar beliau, perkhidmatan Internet juga sangat membantu dalam bidang pendidikan di Bintangor dalam memberi peluang kepada pelajar mengikuti pembelajaran secara atas talian dan mendapatkan pengetahuan tambahan.
Datuk Ding berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pelancaran Unifi di Bandar Bintangor semalam.
Beliau dalam pada itu amat berterima kasih kepada TM Sarawak kerana menyediakan perkhidmatan Unifi dan membantu membangunkan infrastruktur telekomunikasi di Bintangor.
Harapan Datuk Ding agar perkhidmatan Unifi ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk Bintangor agar dapat memberi peluang dan manfaat kepada semua penduduk sekaligus menyokong Transformasi Ekonomi Digital Negeri Sarawak.