SIBU: Negara ini harus berbalik kepada fundamental yang telah diletakkan sebagai asas penubuhan Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pengiktirafan terhadap fundamental itu akan memperkukuhkan lagi semangat kenegaraan kesemua bahagian negara ini terhadap Malaysia dan bukan sebaliknya.
“Percayalah, melabelkan, khususnya Sarawak sebagai ‘parochial’ atau kedaerahan tidak akan membantu penyatuan negara.
“Sarawak dan Sabah pastinya hanya mahu kuasa-kuasa yang terhakis, secara sengaja atau tidak sengaja, dikembalikan,” katanya semasa berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2020 di Stadium Tertutup Sibu, malam tadi.
Sambutan yang bertemakan Malaysia Prihatin itu telah disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
Sambutan tersebut juga dihadiri Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Datuk Aidi Moktar yang mewakili Ketua Menteri Sabah.
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, rakyat kini mengambil berat akan hak-hak mereka serta hak perlembagaan dan menuntut agar Kerajaan Persekutuan menghormati dan memastikan tiada perlanggaran hak-hak berkenaan.
“Rundingan berkaitan Perjanjian Malaysia Ke-63 (MA63) kini sedang dijalankan dan kita berharap ianya membuahkan hasil positif kepada Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak seperti mana yang termaktub 57 tahun lalu dalam MA63,” ujarnya.
Sementara itu, beliau juga berkata, tidak dapat dinafikan bahawa Sarawak juga belum lagi mampu mengejar pembangunan khususnya di Semenanjung Malaysia.
“Apa yang penting bagi Sarawak ialah terus mengorak langkah untuk meletakkan negeri ini di persada pembangunan yang lebih intensif agar mampu menjadi sebuah negeri yang maju menjelang 2030,” katanya.