TANJUNG MANIS: Seramai 300 orang peserta telah mendengar taklimat Program Pembangunan Spektra Permata (RSP) oleh Perbadanan Pembangunan Perumahan di Dewan Masyarakat Kampung Rajang, Mukah hari ini

Berucap dalam program tersebut, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datu Len Talif Salleh berkata selepas ini pihak kerajaan akan melaksanakan lebih banyak skim perumahan dan penempatan untuk keselesaan rakyat.

“Akan datang, akan ada lagi program seperti ini untuk penduduk setempat agar mereka mendapat kediaman yang lebih selesa. Antara skim-skim yang disediakan adalah Skim HDC, Skim Pembesaran Kampung dan juga Skim Penempatan Semula untuk penduduk sekitar  akan diperluaskan lagi  pada masa akan datang”.

Dimaklumkan rekabentuk Rumah Spektra Permata (RSP) yang dicadangkan di kawasan tersebut adalah jenis sebuah atas tanah atau bertiang dengan minimum keluasan 750kps hingga 850kps turut menyediakan tiga  bilik tidur, ruang tamu, ruang makan dapur dan bilik air.

Sementara itu anggaran harga jualan adalah diantara RM90,000 hingga RM160,000 seunit dengan kelayakan pendapatan di antara RM1500 hingga RM6000 sebulan.

Turut diadakan juga sesi soal jawab antara peserta dan pegawai Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (PPPS) atau (HDC) berkaitan dengan isu perumahan yang berbangkit.