KUCHING: Sarawak kembali merekodkan satu kes baharu Covid-19 hari ini melibatkan kes import seorang jurutera tempatan dari Cheras, Selangor selepas seminggu tidak mencatatkan sebarang kes. 

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS)  lelaki berkenaan datang ke Kuching pada 14 September lalu atas urusan rasmi selama dua hari. 

Kes diambil  calitan bagi ujian rT-PCR melalui ujian saringan rawak Covid-19 setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA). 

Jelasnya, sampel ujian didapati positif pada petang 16 September dan kes dikesan semasa dalam penerbangan balik ke Kuala Lumpur serta dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor. 

“Kes tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala awal jangkitan dan didapati dijangkiti semasa kes berada di tempat asal sebelum masuk ke Sarawak,” kata JPBNS dalam satu kenyataan. 

“Punca jangkitan masih dalam siasatan lanjut dan pengesanan kontak kepada kes ini sedang giat dijalankan,” katanya. 

JPBNS turut memaklumkan terdapat satu kes yang disahkan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) dijangkiti Covid-19 pada 15 September lepas di Belaga. 

Katanya, kes merupakan seorang jurutera dan pengurus syarikat perladangan yang berasal dari Pulau Pinang. 

Kes ini disaring oleh Klinik Kesihatan Sandakan pada 10 September lepas melalui saringan pemantauan aktif bagi pelawat dari luar Sabah. 

Bagaimanapun, kes telah memasuki Sarawak menggunakan jalan darat melalui pintu masuk di Merapok, Lawas pada 11 September melimpasi Bahagian Limbang, Negara Brunei, Bahagian Miri dan bermalam di Bintulu sebelum sampai di Belaga pada 12 September lalu. 

Pada 13 September, kes sekali lagi melakukan perjalanan ke Bintulu dan Mukah sebelum balik semula ke Belaga pada 14 September. 

Katanya lagi, Jabatan Kebajikan Negeri Sabah telah memaklumkan JKNS mengenai kes ini sebaik sahaja keputusan ujian makmal diperoleh pada 15 September. 

“Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu telah bertindak segera untuk mengesan kes dan kes dimasukkan ke Hospital Bintulu pada 16 September untuk rawatan lanjut,” katanya. 

Kenyataan itu menambah, JKNS akan melakukan pengesanan kontak kepada kes ini bagi mengesan kemungkinan jangkitan COVID-19 di semua tempat dan premis yang dilawati kes ini.