KUALA LUMPUR: Kementerian Perusahaan Perladangan Dan Komoditi sedang melaksanakan pelbagai langkah promosi menerusi Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi meningkatkan kebolehpasaran produk sawit ke negara-negara Kesatuan Eropah (EU).
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi, Dato’ Sri Dr. Wee Jeck Seng berkata ia adalah antara usaha dalam menangani persepsi negatif terhadap industri sawit negara terutamanya dari aspek kemampanan selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals – SDGs) 2030 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Jelas beliau, aktiviti promosi juga turut melibatkan kerjasama daripada pejabat kedutaan
Malaysia di Eropah khususnya bagi perkara yang melibatkan perhubungan antara Kerajaan (Government to Government – G to G) serta penglibatan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam aspek pemasaran.
“Antara kerjasama G to G yang telah diadakan adalah berkaitan bidang penyelidikan, kemampanan dan pekebun kecil dengan negara Perancis, Belanda dan United Kingdom.
“Selain itu, perbincangan secara berterusan bersama pihak-pihak berkepentingan di EU juga giat diadakan bagi menangani isu persepsi negatif terhadap minyak sawit menerusi Misi Ekonomi dan Promosi Minyak Sawit ke negara-negara EU.
“Namun begitu, memandangkan situasi COVID-19 yang melanda seluruh dunia, program-program termasuk webinar telah dilaksanakan secara atas talian atau virtual dan melalui kunjungan-kunjungan hormat perwakilan negara luar di Malaysia seperti oleh Duta Besar Amerika Syarikat dan Belanda,” katanya.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Rita Sarimah Patrick Insol mengenai implikasi kempen anti minyak sawit di Kesatuan Eropah (EU) ke atas industri minyak sawit negara semasa sesi Dewan Negara pada Selasa.
Tambah Dr. Wee, antara perkara lain yang turut diketengahkan dalam sesi perbincangan dan misi tersebut adalah mengenai kesungguhan dan komitmen Malaysia dalam membangunkan industri sawit negara secara mampan menerusi pelbagai inisiatif.
Antaranya pelaksanaan Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) secara mandatori mulai 1 Januari 2020; pengukuhan polisi dalam melestarikan aktiviti penanaman sawit negara seperti menghadkan keluasan penanaman kelapa sawit seluruh negara dengan penetapan sasaran seluas 6.5 juta hektar.
Ia termasuk larangan penanaman baharu sawit di atas kawasan baharu tanah gambut, larangan penukaran guna tanah Hutan Simpan Kekal (HSK) bagi aktiviti penanaman sawit atau tanaman pertanian lain dan penyediaan peta rasmi bagi kawasan sawit untuk capaian umum.
Menjawab soalan tambahan Senator Rita, beliau berkata harga minyak sawit dan buah tandan segar (BTS) adalah ditentukan oleh kuasa permintaan dan penawaran.
“Penentuan harga BTS pula adalah bergantung kepada pergerakan harga minyak sawit mentah (CPO).
“Pergerakan harga minyak sawit mentah CPO bergantung kepada faktor seperti pertumbuhan ekonomi, permintaan dan penawaran minyak sayuran lain dan jumlah stok minyak sawit oleh negara-negara pengeluar terutamanya Indonesia yang merupakan pengeluar terbesar minyak sawit dunia,” katanya.