SIBU: Kepelbagaian kaum bukan satu kelemahan sebaliknya faktor kekuatan Malaysia untuk terus membangun sebagai negara berdaulat dengan rakyatnya hidup dalam suasana aman dan harmoni.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Saifuddin Abdullah berkata, patriotisme, iaitu cinta kental terhadap negara menuntut tumpuan yang berbeza akibat keadaan dan masa.

Katanya, ketika negara memerangi COVID-19, lahir ‘pahlawan baharu’ iaitu barisan hadapan yang berbakti dan sanggup berkorban, rakyat yang bekerjasama baik, kerajaan yang prihatin dalam menjaga kesihatan dan menjaga ekonomi.

“Hari Malaysia amat bermakna buat kita semua. Ia bukti kedaulatan, keharmonian dan kemakmuran sebuah negara yang dibangun oleh rakyat yang berbilang etnik, bahasa, budaya dan agama; yang majoriti mahupun minoriti; di Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” katanya dalam ucapan sempena sambutan Hari Malaysia di sini, malam tadi.

Foto KKMM

Sementara itu, Menteri Utiliti yang juga pengerusi bersama sambutan Hari Malaysia 2020, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, sambutan Hari Malaysia tahun ini merupakan satu sejarah kerana pertama kali ianya dianjurkan dalam suasana dan keadaan yang amat berbeza sekali akibat pandemik COVID-19.

Katanya, Hari Malaysia diraikan bertujuan untuk mendidik rakyat Malaysia terutama generasi muda untuk menghargai sejarah dan pengorbanan di sebalik penubuhan Malaysia di samping menanamkan semangat perpaduan, kekitaan dan cintakan negara.

“Tema Malaysia Prihatin, amatlah sesuai sekali kerana mengambarkan komitmen Kerajaan Malaysia untuk memastikan kesejahteraan rakyat terjamin terutamanya dalam menangani masalah yang melanda rakyat akibat penularan COVID-19 ketika ini.

“Ia juga terbukti dengan bantuan seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN) oleh Kerajaan Pusat yang dihulurkan kepada rakyat yang memerlukan dan Bantuan Sarawakku Sayang (BKSS) oleh kerajaan Sarawak untuk tujuan yang sama,” katanya.

Beliau juga mengajak rakyat terus bekerjasama tanpa mengira agama, kaum dan bangsa dalam menentukan hala tuju negara supaya berjaya mencapai status sebagai sebuah negara maju.

Acara bersejarah itu katanya, juga menggambarkan seluruh rakyat bersatu hati dan berganding bahu dalam menangani cabaran COVID-19 tanpa mengira ideologi politik, kedudukan serta latar belakang kaum.

Sambutan kali ini dilaksanakan secara norma baharu dengan jumlah jemputan seramai 500 orang dan berskala kecil bagi mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).