MERADONG: Hasrat penduduk Kampung Sebena, Meradong untuk memiliki kemudahan jeti lengkap bagi memudahkan mereka menjalankan aktiviti harian tercapai selepas Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan pembinaan jeti konkrit melalui projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP).
Projek yang menelan kos sebanyak RM450,000 itu akan memakan masa empat bulan untuk disiapkan.
Semalam berlangsung upacara ringkas penyerahan Tapak Projek RTP Peruntukan Kerajaan Negeri Sarawak (ADUN Daro).
Pegawai Daerah Meradong, Badjuri Bidin yang hadir pada majlis ringkas itu berharap dan menyeru kontraktor serta pihak JKR saling bekerjasama agar pelaksanaan projek dapat disiapkan mengikut jadual ditetapkan.
Penduduk dalam pada itu amat berterima kasih kepada ADUN Daro, Shafiee Ahmad kerana sentiasa membuat lawatan dan melihat sendiri masalah yang dihadapi penduduk Kampung Sebena.
Siapnya jeti konkrit tersebut akan memberi manfaat kepada penduduk Kampung Sebena untuk memudahkan bot mendarat serta mengangkut barangan harian.