KOTA SAMARAHAN: Penubuhan unit khas yang memantau perkembangan sekolah rendah bantuan Cina menjadikan pengurusannya lebih sistematik seperti Unifor.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, pengurusan yang sistematik bukan sahaja dari segi penyaluran dana, malah membina semula dan menempatkan sekolahsekolah terpilih.

“Oleh kerana kita menerima banyak permohonan daripada sekolah rendah bantuan Cina, jadi unit ini ditubuhkan.

“Maka, setiap tahun Kerajaan Sarawak akan menyalurkan dana kepada unit ini sama seperti Sekolah Menengah Cina,” katanya sambil menambah belum ada nama terperinci untuk unit berkenaan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pembukaan SJK Chung Hua Bako yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Taman Berlian Stabil di sini pada Selasa.

Kui Hian yang juga Presiden SUPP menambah, sekolah Cina kini semakin mendapat tempat dalam kalangan bumiputera apabila menghantar anak-anak mereka mempelajari bahasa Mandrin.

“Hakikatnya, golongan bumiputera yang belajar di sekolah Cina meningkat sebanyak tujuh peratus di Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian.

“Dalam melangkah ke dasar ekonomi digital, sumber manusia harus kukuh dalam matematik dan sains yang menjadikan sekolah Cina menjadi pilihan ibu bapa,” jelasnya.

Tegasnya, ia membuktikan Kerajaan GPS sentiasa menekankan kepentingan pendidikan dalam membentuk modal insan. “Secara keseluruhannya, kita mempunyai 222 sekolah rendah bantuan Cina jika dibandingkan dengan sekolah menengah Cina, hanya 40 buah.

“Ada daripadanya dalam keadaan daif apabila Kerajaan Persekutuan hanya memberi peruntukan bagi membaik pulih sekolah sahaja bukannya bina baharu dan sebagainya,” ujarnya.