SPAOH: Majlis Perasmian Bengkel Kepolisan Komuniti Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bahagian Betong Peringkat Daerah Kecil Spaoh telah menyaksikan 12 orang pemilik tanah menerima pampasan tanah NCR mereka bagi memberi laluan untuk pembinaan Lapangan Terbang Spaoh berjumlah RM501,749.40 pada Selasa.
Selain itu turut diserahkan sumbangan Unit Hal Ehwal Agama-agama Lain (UNIFOR) oleh Timbalan Ketua Menteri Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, Datuk Amar Douglas Uggah Embas kepada Gereja St. Andrew Chapel, Bebuling Paku dan Gereja St. Mark’s Chapel, Ng. Peka Paku.
Berucap dalam majlis tersebut, Datuk Amar Douglas berkata JKKK merupakan jentera kerajaan kerana membantu kerajaan menjaga perpaduan dan keselamatan di kawasan masing-masing.
Oleh itu, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan dana sebanyak RM100 juta bagi memperkasakan JKKK di seluruh Sarawak yang merupakan pemimpin komuniti di peringkat akar umbi.
Antara agensi kerajaan yang terlibat dalam Taklimat Bengkel Kepolisan Komuniti tersebut ialah Majlis Keselamatan Negara, Unit Keselamatan Dan Penguatkuasaan Negeri (UKPN), Jabatan Kesihatan Betong, R&DO Bahagian Betong, Agensi Antidadah Kebangsaan Betong Dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong.