PUSA: Adun Beting Maro Razaili Gapor menyaran dan menggalakkan warganya berniaga menggunakan kaedah baharu seiring perubahan masa dan saranan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam memperkasakan ekonomi digital.

Katanya, masyarakat luar bandar juga harus merebut peluang dengan memahirkan diri untuk menguasai teknologi agar tidak ketinggalan.

“Untuk permulaan, mungkin boleh dibangunkan perniagaan melalui aplikasi di telefon pintar seperti WhatsApp, Telegram, Facebook…cipta satu kumpulan dalam satu lingkungan kawasan untuk penduduk setempat berurusan, menjual dan membeli.

“Sebarang promosi boleh dilakukan secara maya dan pembeli juga boleh membeli secara dalam talian, maka lebih mudah.

“Dalam masa yang sama, cara tersebut akan membuka peluang pekerjaan sampingan baharu iaitu perkhidmatan menghantar barang seperti Food Panda, Grab Food dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa program Pemimpin Bersama Rakyat dan perjumpaan K-10 di Dewan Masyarakat Kalok, semalam.

Jelasnya, peluang untuk meningkatkan ekonomi amat besar untuk direbut.

“Sekarang ia terpulang kepada diri sendiri kerana kemudahan telekomunikasi semakin baik, pusat internet juga dekat…tiada alasan.

“Apa yang penting, kita sendiri harus mempunyai tekad dan azam untuk berjaya kerana ramai usahawan dari kawasan sekitar sudah mampu melakukannya.

“Aplikasi cara baharu ini penting kerana semakin ke depan, negeri kita akan mengadaptasikannya sebagai norma baharu kehidupan termasuk transaksi tanpa tunai melalui Sarawak Pay. Justeru, kita harus bersedia,” ujarnya.

Bagi menyokong usaha tersebut, Kerajaan Sarawak tahun ini akan membangunkan tempat berjual (tamu) dan pusat kegiatan ekonomi khas untuk penduduk Kampung Kalok, Lot (penempatan baharu) dan Dato Godam.

“Insya-Allah akan dibina dalam masa terdekat di kawasan Masjid Darul Ulom.

“Pusat pertama berkonsepkan pasar tamu, sebuah bangunan berbumbung dan satu lagi pusat kegiatan ekonomi seperti yang telah dibangunkan di kampung-kampung lain.

“Saya berharap, inisiatif Kerajaan GPS ini akan membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat di sini,” jelasnya.

Razaili yang juga Ahli Majlis Tertinggi Parti PBB mengingatkan jentera K-10 untuk mengutamakan semangat ‘kita jaga kita’ dalam memastikan kemenangan GPS pada PRN-12.

“Kita harus mengekalkan Kerajaan GPS untuk terus meneraju Sarawak,” tambahnya.

Beliau terdahulu menyaksikan pertandingan sepak takraw belia dan menyampaikan sumbangan ihsan pendidikan kepada empat anak tempatan yang berjaya melanjutkan pengajian ke Universiti Awam.

Turut hadir Pemanca Daerah Pusa Awang Raziee Awang Mohd. Zain, Penghulu Kampung Pusa Mahdi Kidi, Ketua Kampung Kalok Sadda’llah Saiee, Timbalan Ketua PBB Cawangan Awang Sarbini Gapor dan Naib Ketua PBB Cawangan Mohidin Bolhassan.