BINTULU: Seorang penganggur dicekup polis selepas disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah di daerah ini, semalam.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili berkata lelaki tempatan berumur 31 tahun ditahan itu pada pukul 11 malam tadi di sebuah hotel bajet di Jalan Abang Galau, di sini sempena Op Ambang Hari Malaysia.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas badan saspek, Polis menjumpai tujuh paket plastik kecil lutsinar berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetime atau syabu seberat 6.34 gram dengan nilai pasaran RM1,000.

Pemeriksaan ujian air kencing, kemudiannya, mendapati suspek positif dadah jenis methamphetime dan amphetamine selain mempunyai rekod kesalahan lampau dadah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan suspek boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan sebatan tidak melebihi sembilan kali.

Manakala, jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 pula, denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun dan pengawasan dua tahun, ujar Zulkipli.