SRI AMAN: Satu blok lima pintu rumah pekerja ladang di Ladang Sawit Spad Melugu dekat Jalan Melugu Ili yang didiami warga Indonesia musnah dalam kebakaran, pagi tadi.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Tiga Sri Aman Ramlan Marajan berkata, semasa kejadian hampir semua penghuni tidak berada di rumah tersebut ekoran masing-masing bekerja termasuk pekerja lain.

“Hanya satu pintu sahaja yang berpenghuni dan kepulan asap tebal mula kelihatan dari bahagian tengah (pintu ketiga) yang didiami tiga anak-beranak,” kataya di sini, hari ini.

Jelasnya, bomba mengalami kesukaran masuk ke lokasi kejadian ekoran tiada akses jentera FRT Scania dan EMRS akibat jalan menuju ke lokasi ditenggelami air serta sempit.

“Kita terpaksa menggunakan pacuan empat roda dan posun milik ladang sawit untuk ke lokasi yang jaraknya hampir satu kilometer,” ujarnya.

Terdahulu, pekerja ladang bertindak melakukan pemadaman awal menggunakan enam unit alat pemadam api jenis debu kering dan pam angkut dengan kekuatan 26 pekerja.

Operasi tamat sekitar 11:15 pagi.