SIBU: Dalam tempoh empat tahun, Kerajaan Sarawak menyalurkan RM115 juta kepada Unifor bagi memenuhi keperluan agama-agama lain di negeri ini.

Malah menurut Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Jaul Samion, kerajaan berjanji akan membantu Unifor lebih lagi ekoran banyak permohonan diterima setiap tahun daripada pelbagai rumah ibadat setiap tahun.

“Pada tahun 2017, Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM 15 juta bagi tujuan membangun, memperbaiki, dan menambah rumah-rumah ibadah.

“Jumlah tersebut meningkat kepada RM 20 juta pada 2018, RM30 juta (2019) dan tahun ini diperuntukkan RM50 juta.

“Selain itu Kerajaan Sarawak memperuntukkan tiga ekar tanah di Jalan Ong Tiang Swee untuk pembinaan Kompleks Unifor yang akan menjadi pejabat tetap,” katanya ketika merasmikan program Perpaduan Antara Agama bersempena Sambutan Hari Malaysia 2020 di sini, semalam.

Jelasnya, ini menunjukkan komitmen Kerajaan Sarawak membantu kesejahteraan agama-agama lain, dalam masa yang sama menggambarkan keutamaan Sarawak mengenai inklusiviti dan kepelbagaian.

Bersempena sambutan Hari Malaysia tahun ini, Jaul menyifatkan Sarawak adalah model yang sempurna sebagai sebuah negeri yang mana rakyatnya memiliki kepercayaan agama berbeza, namun dapat hidup dengan aman dan damai.

“Perayaan kali ini diadakan di Sibu dan kita beruntung kerana bandar ini terkenal dengan kepelbagaian budaya daripada semua etnik di negeri ini.

“Hari Malaysia sangat penting bagi kita kerana Hari Malaysia membawa makna yang signifikan kepada masyarakat berbilang kaum di Sarawak

“Dan, sambutan seumpama ini bukan sahaja berjaya menyuburkan perpaduan tetapi juga menyemai rasa cinta akan negara melalui semangat patriotik,” ujarnya.

Tambahnya, penganjuran program perpaduan antara agama membuktikan kerjasama antara agensi Kerajaan Sarawak seperti Pejabat Residen Bahagian Sibu, Unit Integriti dan Ombudsman (UNION), Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Unit Protokol dan Pengurusan Acara Negeri (UPPAN),​ Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).