KUALA LUMPUR: Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique. Menegaskan perpaduan yang teguh antara rakyat Malaysia  ialah kejayaan negara yang tidak boleh diambil mudah.

Katanya, ia  pencapaian dan kejayaan negara yang paling bermakna, justeru, segala usaha, kesedaran dan keinginan untuk melestarikan keharmonian antara rakyat harus terus diperkukuhkan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, beliau berkata kekayaan budaya, kepelbagaian bangsa dan warna-warni kehidupan setiap rakyat Malaysia telah membentuk asas dan mencorakkan kemakmuran tanah air.

“Meskipun sambutan Hari Malaysia tahun ini diraikan secara sederhana, namun saya yakin, rasa kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia tetap terserlah dengan mengamalkan nilai-nilai yang menyatupadukan.

“Marilah kita sama-sama menyambut Hari Malaysia kali ini dengan penuh bersemangat, semoga ia mengeratkan lagi silaturahim sesama kita. Kesediaan ini tentunya akan mengekalkan sejahtera di bawah payung kedaulatan negara,” katanya lagi.

Halimah berharap, seluruh rakyat Malaysia terus peka dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) norma baharu dalam memerangi penularan COVID-19, di samping memelihara nilai-nilai murni dan kesopanan.

Hari ini, seluruh rakyat negara ini akan menyambut Hari Malaysia 2020 dengan sambutan peringkat kebangsaan berlangsung di Stadium Tertutup Sibu.

Sambutan itu yang akan dihadiri Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga Tuan Yang Terutama Negeri Tun Abdul Taib Mahmud.