SIBU: Transformasi teknologi yang pesat menjadikan usaha Kerajaan Sarawak memperkenalkan sistem pembayaran e-dompet, Sarawak Pay lebih mudah sekali gus menyerlahkan potensi sistem itu untuk terus berkembang pada masa depan.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan bersungguh-sungguh menggerakkan usaha bagi mengKerajaan Sarawak serius budayakan teknologi baharu dalam kalangan rakyatgalakkan rakyat membudayakan teknologi baharu itu sebagai sebahagian daripada kehidupan.

Langkah itu katanya, menjadikan rakyat lebih bersedia menghadapi ledakan pembangunan dunia digital yang menjadi pemangkin kemajuan Sarawak pada masa depan.

“Kita sedar usaha itu bukan mudah dan mengambil masa namun kerajaan yakin ia boleh direalisasikan. Ini terbukti dengan perkembangan dan sambut positif rakyat sejak Sarawak Pay diperkenalkan di negeri ini,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Transaksi Tanpa Tunai Sarawak Pay dan Rangkaian Wi Fi Percuma di Pasar Sentral, di sini, hari ini.

Beliau berkata, Sarawak Pay merupakan antara langkah kerajaan dalam menggalakkan masyarakat mempraktikkan bayaran tanpa tunai ketika dunia sedang melangkah ke era teknologi tanpa sempadan.

Menurutnya, sejak dilancarkan pada November 2017, Sarawak Pay kini mempunyai hampir setengah juta pengguna iaitu seramai 433,396 orang dan 64,254 peniaga berdaftar di seluruh Sarawak.

Pada masa yang sama katanya, jumlah transaksi sistem itu kini mencecah angka 13.7 juta manakala, nilai barang jual belinya pula ialah sebanyak RM588,252, 980.

“Dalam tempoh tiga tahun, ramai yang sudah mendaftar dengan Sarawak Pay dan membeli belah hanya menggunakan telefon.

“Ini satu perkembangan yang sangat baik dan saya yakin jumlahnya akan terus meningkat dari semasa ke semasa.

“Ketika awal diperkenalkan memang agak janggal tetapi selepas Pandemik COVID -19 melanda dunia, penggunaan sistem ini melonjak sekaligus membuktikan betapa pentingnya sistem pembayaran e-dompet dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Pasar Sentral Sibu menjadi pusat penjaja pertama di negeri ini menggunakan sistem tanpa tunai, Sarawak Pay.

Kira-kira 70 peratus daripada 1,170 penjaja di pusat penjaja itu mendaftar dengan Sarawak Pay untuk memberi kemudahan kepada pembeli.

Hadir sama, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato Sri Profesor, Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion, Menteri Muda Pendidikan, Sains, Penyelidikan Teknologi, Dr. Anuar Rapa’ee dan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Kaunselor Clarence Ting.