BINTULU: Hubungan yang baik antara kaum dan agama akan membolehkan Sarawak dapat membangunkan negerinya dalam keadaan yang harmoni.

Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip berkata kerjasama ini menunjukkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam mengekalkan dan mempertahankan perpaduan antara agama yang ada di negeri ini.

Beliau berkata perpaduan merupakan ramuan penting dalam mewujudkan keharmonian di kalangan rakyat negeri ini yang mempunyai pelbagai kaum dan perbezaan agama.

Amalan menghormati agama lain menjadi komitmen utama kerajaan Sarawak kerana dengan cara ini dapat mewujudkan kerjsama dalam membangun dan memajukan negeri kita, ujarnya ketika berucap pada majlis ringkas penyerahan sumbangan Kerajaan Sarawak di bawah inisiatif Unit Hal Ehwal Agama – Agama Lain(UNIFOR) kepada Persatuan Gereja-Gereja Sarawak Cawangan Bintulu di salah sebuah hotel terkenal, di sini, semalam.

Sumbangan cek berjumlah RM500,000 di bawah inisiatif UNIFOR itu disampaikan bendahari persatuan terbabit, Pastor Joseph Baja.

Dalam pada itu, Adun Jepak itu turut menggesa masyarakat majmuk di negeri ini, supaya tidak terpengaruh dengan propaganda dan dakyah pihak luar yang cuba merosak serta memecahbelahkan keharmonian dan perpaduan kaum yang sedia wujud.

Malah, jelas beliau lagi, Kerajaan Sarawak juga amat menitikberatkan keharmonian agama di samping akan terus merancang dan meneruskan pembangunan untuk semua agama di negeri ini.