KUALA LUMPUR: Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) Jabatan Perdana Menteri ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang berada di bawah tanggungjawab pelbagai kementerian dan agensi persekutuan termasuk Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) merangkap Ahli Parlimen Mukah, Dato Hajah Hanifah Hajar Taib menjelaskan terdapat beberapa tindakan susulan yang perlu diambil bagi memastikan keputusan Jawatankuasa Khas Kabinet (JKKK MA63) boleh dilaksanakan.
Ini termasuklah mengenai pelaksanaan segala keputusan yang telah dicapai sebelum ini oleh Jawatankuasa Khas Kabinet untuk menyemak pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 yang telah ditubuhkan terdahulu.
Katanya, penubuhan BHESS adalah selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 15 Januari 2020 yang antara lain telah memutuskan Persetujuan supaya Jawatankuasa Khas Kabinet untuk menyemak Perjanjian Malaysia 1963 dibubarkan memandangkan matlamat asal JKKK ini telah tercapai.
Jemaah menteri turut bersetuju supaya sebuah majlis khas diwujudkan sebagai memantau pelaksanaan kepada keputusan-keputusan yang telah dicapai dan menyelesaikan perkara-perkara yang belum dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Khas Kabinet tersebut dan Majlis khas tersebut akan diurusetiakan oleh Bahagian Hal Ehwal Sabah Dan Sarawak Jabatan Perdana Menteri
Dato Hajah Hanifah berkata demikian pada Persidangan Dewan Negara semalam.
Ujarnya, selain dari BHESS, Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah dan Pejabat Setiausaha Persekutuan Sarawak turut diletakkan di bawah portfolio Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak.
Menjelas status kemajuan 17 daripada 21 perkara yang telah diputuskan secara dasar oleh JKKK MA63, pelaksanaan perkara-perkara tersebut memerlukan kepada tindakan susulan daripada agensi-agensi di peringkat persekutuan dan negeri.
“Sebagai contohnya terdapat keperluan untuk meminda, menggubal undang-undang baru baik di peringkat persekutuan dan negeri dan perkara-perkara ini masih perlu untuk dibincangkan dan diselaraskan oleh agensi yang berkenaan.
“Secara umumnya tindakan-tindakan susulan ini akan mengambil masa sekurang-kurangnya tempoh satu hingga dua tahun untuk dilaksanakan.
“Terdapat juga inisiatif yang bersifat berterusan untuk dilaksanakan oleh kementerian dan agensi berkaitan bersama dengan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak,” katanya.
Jelasnya, kesemua perkembangan ini adalah dipantau secara berkala oleh BHESS.