Tajuk: Persekutuan Malaysia 1961-1966: Penubuhan dan Cabaran

Penulis: Mohd Samsudin

Penerbit: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 2016

Halaman: 518 muka surat

BANYAK buku tentang pembentukan Malaysia telah diterbitkan, tetapi daripada sekian banyak buku, yang paling berwibawa  setakat ini ialah buku Persekutuan Malaysia 1961-1966 tulisan Mohd Samsudin.

Buku ini bukan sahaja ditulis berdasarkan wawancara dengan pelbagai pihak berkaitan, tetapi menggunakan pelbagai dokumen di dalam dan luar negara. 

Sumber lisan yang digunakan oleh penulis dengan menemu bual tokoh yang terbabit secara langsung dalam penubuhan Malaysia turut membantu menambah nilai buku ini.

Buku ini dikaji berdasarkan dokumen dan bahan berkaitan yang terdapat di Public Record Office di London, National Australia Archives melibatkan pelbagai siri fail, fail Kementerian Luar Negeri, perbahasan Parlimen fail peribadi di Arkib Negara Malaysia. 

Yang menyebabkannya berada dalam kelas yang tersendiri ialah ia hasil daripada tesis PhD penulisnya. 

Tesis PhD ditulis berdasarkan fakta, data, maklumat dan sumber sahih dengan penghujahan yang konkrit dan meyakinkan, dan bukannya ditulis berdasarkan generalisasi atau kesan umum.

Perbincangan pembentukan Malaysia bermula dengan idea dalam kalangan pegawai British terhadap rancangan penyatuan Tanah melayu dengan wilayah British di Asia Tenggara selepas perang Dunia Kedua.

Menurut penulis, perbincangan penting tertumpu mengenai rancangan penubuhan Malaysia oleh Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu yang diterajui oleh Tunku Abdul Rahman.

Buku ini mendedahkan kepada dua perkara penting dalam sejarah penubuhan Malaysia. 

Pertama, usaha penubuhan dan kedua cabaran yang dihadapi oleh Persekutuan Tanah Melayu.

Secara khusus buku ini membincangkan dan menilai peranan  yang dimainkan oleh Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, terutamanya Tunku Abdul Rahman, para menteri dan pegawai dalam merealisasikan penubuhan Malaysia. 

Buku yang mengandungi tujuh bab utama ini juga mengupas dan meneliti keupayaan Kuala Lumpur dalam menentukan syarat dan terma dalam penubuhan Malaysia. 

Seterusnya, buku ini mengupas usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Malaysia, kemudiannya menghadapi ancaman daripada Indonesia dan Filipina.

Dari aspek penubuhan, penulis membincangkan siri rundingan yang diadakan oleh pihak Persekutuan Tanah melayu dengan pegawai Kerajaan British, Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei. 

Singapura yang turut menubuhkan Malaysia telah terkeluar daripada Malaysia pada 1965, manakala Brunei mengambil keputusan tidak bersama.

Dalam bahagian cabaran pula, Mohd Samsudin, pensyarah kanan sejarah di Universiti Kebangsaan Malaysia pula, mengetengahkan tentangan yang dihadapi daripada pihak Indonesia dan Filipina yang membawa kepada Konfrontasi. 

Selain itu, penyelesaian yang diusahakan bagi menamatkan tentangan daripada kedua-dua negara terbabit turut dibincangkan oleh penulis dalam buku yang dikupas dengan mendalam, objektif, dan analitis ini.

Perbincangan mengenai penubuhan Malaysia memerlihatkan peranan penting yang dimainkan oleh Tunku dalam menentukan arah haluan Persekutuan Malaysia yang dikehendaki menurut acuan Kuala Lumpur. 

Tunku memainkan peranan penting bagi mencapai pembentukan Malaysia. Asas penting yang dilakukan oleh Tunku ialah penyatuan wilayah Borneo khususnya Borneo Utaracdan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia. 

Kedua-dua negeri ini diiktiraf sama taraf dengan negeri lain dalam Persekutuan Tanah Melayu. Dengan kegigihan dan komitmennya Tunku berjaya menubuhkan gagasan Malaysia dalam tempoh 28 bulan selepas tarikh pengumuman beliau sekali gus memperlihatkan kehebatan dan kesungguhannya sebagai pengasas utama pembentukan Malaysia.

Oleh itu, kehendak kerajaan Persekutuan tanah Melayu ialah Borneo Utara dan Sarawak merdeka dalam Malaysia dan mempunyai suatu ikatan perlembagaan yang kuat yang tidak boleh keluar sesuka hati. 

Itulah sebabnya, kedua-dua negeri diberikan kerusi parlimen yang besar, iaitu Sarawak mempunyai 24 kerusi parlimen dan Borneo Utara mendapat 16 kerusi parlimen berbanding Singapura hanya 15 kerusi. 

Penulis membincangkan tiga cabaran utama penubuhan Malaysia. 

Pertama, pemisahan Singapura selepas kurang setahun penubuhan Malaysia. Cabaran kedua ialah soal tuntutan Filipina ke atas Sabah manakala cabaran ketiga ialah isu konfrontasi Indonesia.

Bagi saya, buku ini wajib dibaca oleh semua peringkat masyarakat di negara ini terutamanya pelajar, generasi muda dan para pemimpin politik, persatuan dan para pemimpin pendapat. 

Buku ini tidak syak lagi merupakan antara buku terbaik dan berwibawa mengenai persoalan pembentukan Malaysia.