BAU: Program ‘Community Policing’ merupakan inisiatif kerajaan Sarawak dalam usaha membantu rakyat mengekang pelbagai gejala penyakit dan masalah sosial.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep berkata, program tersebut melibatkan 7,000 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan rumah panjang di seluruh negeri ini.
Jelasnya, program ‘Community Policing’ telah dilancarkan oleh Ketua Menteri Sarawak pada 7 Ogos 2020.
“Program ini amat bertepatan khususnya pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika ini.
“Prosedur operasi standard (SOP) norma baharu di peringkat kampung turut akan dapat dilaksanakan,” katanya semasa Majlis Penangguhan Program ‘Community Policing’ Peringkat Daerah Bau di Dewan Suarah Bau, semalam.
Turut hadir, wakil Residen Bahagian Kuching Dr. Cheang Yaw Liang dan Pegawai Daerah Bau, Anielia Siam.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, peranan JKKK juga akan dapat diperkasakan dalam menangani isu awal di peringkat kampung selain dapat membantu pihak berkuasa.
Program ‘Community Policing’ Peringkat Daerah Bau 2020 diadakan selama dua hari.