KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan UMNO Malaysia Shahril Hamdan berkata, selepas setahun usia Muafakat Nasional (MN), kini tiba masa untuk melangkah ke satu fasa baharu dan mengisi perjuangan yang sebenar-benarnya.

Menurut beliau, sudah pasti antara yang akan ditekankan adalah menambah perkara-perkara baharu khususnya dari segi tawaran dan pengisian MN itu sendiri selain terus memperkukuhkan kerjasama yang terjalin.

“Harapan saya di detik setahun MN yang terbentuk secara rasmi ini, dalam bulan-bulan mendatang, landasan kukuh yang telah terbina, kita akan perkukuhkan lagi dan akan tambah dengan perkara-perkara baru khususnya dari segi tawaran dan pengisian perjuangan MN itu sendiri.

“Mungkin ramai yang sudah nampak kesatuan parti dan kesatuan rakyat di bawah panji MN tapi mungkin ada yang tertanya apa dasar MN dan apa kita nak tawar kepada rakyat. Maka saya amat berharap kepada rakyat selepas tamat setahun ini, kita mula fasa baru, isi perjuangan MN yang sebenar-benarnya,” ujar beliau.

Untuk rekod, setelah UMNO/ Barisan Nasional (BN) tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), UMNO dan PAS mula mencari titik persamaan bagi memperkukuhkan parti masing-masing.

Akhirnya, pada 14 September 2019, UMNO dan PAS mengisytiharkan pembentukan MN yang membawa agenda penyatuan ummah bagi mensejahterakan Malaysia yang majmuk.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah menurunkan tandatangan pada piagam MN dalam satu himpunan bersejarah penyatuan ummah di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

Berikut ialah inti pati piagam tersebut;

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang

Dengan izin Allah SWT, sesungguhnya UMNO dan PAS dengan setulus hati mengisytiharkan pembentukan suatu Muafakat Nasional yang membawa agenda penyatuan ummah bagi mensejahterakan Malaysia yang majmuk.

Maka dengan ini, UMNO dan PAS, menginsafi kewajipan-kewajipan untuk:

  • Menjunjung dan mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin pembentukan Negara, Islam sebagai Agama Persekutuan, Kedaulatan Raja-Raja Melayu, Kedudukan Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta Menjamin Kepentingan Masyarakat Majmuk Terpelihara;
  • Memperkukuhkan Muafakat Nasional melalui amalan musyawarah yang melibatkan pelbagai latar agama, kaum dan budaya demi kepentingan negara.
  • Memperkasakan agenda Islam, Melayu dan Bumiputera secara tuntas dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan demi membangunkan watan yang sejahtera.
  • Membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif (Islam dan bangsa Melayu) tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum dan kesejahteraan negara.
  • Mengikhtiarkan secara kolektif satu citra dan tawaran baru untuk negara dalam meningkatkan tadbir urus yang baik, dasar pembangunan yang inklusif dan sejahtera serta pengagihan yang menyuburkan keadilan sosial merentasi batas warna kulit dan anutan.

Justeru, marilah kita semua rakyat berganding bahu mendukung Muafakat Nasional Demi Malaysia yang Sejahtera.