KANOWIT: Kebanyakan premis kedai di Pasar Kanowit ditutup dan tidak beroperasi kerana banjir yang melanda pada masa kini.

Pekan Kanowit kali terakhir dilanda banjir adalah pada tahun 2010 Banjir yang berlaku pada ketika itu dikatakan lebih teruk berbanding tahun ini.

Anggota Balai Bomba dan Penyelamat BBP Kanowit yang terdiri daripada PBK II. Labang Bunsu, PB. Entari Maja, PBKll KUP. Yusuf Morni, PBKll KUP. Alffian dan PB. Badrulhisam meninjau lokasi banjir jam 9 pagi tadi

Laporan rasmi daripada BBP Kanowit menyatakan banjir telah menyebabkan hanya beberapa buah kedai kopi yang terletak di kawasan yang agak tinggi dapat beroperasi sementara premis kedai lain ditutup.

Paras air dikawasan pasar juga dilaporkan naik sehingga paras betis (sekaki setengah). Banjir yang berlaku dilapor menunjukkan tanda-tanda surut yang sangat perlahan.Bagaimanapun cuaca di situ dilaporkan cerah pagi ini.

Jalan raya pula hanya boleh dilalui kenderaan berat dan juga kenderaan pacuan empat roda.

Berikutan situasi banjir yang melanda penduduk di kawasan rendah, tepi sungai dan kawasan lain yang berpotensi dinaiki air dinasihatkan supaya berada dalam keadaan berjaga-jaga dan mengambil langkah keselamatan yang tinggi bagi mengelakkan berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.

Penduduk juga diingatkan supaya berpindah jika paras air menunjukkan peningkatan mendadak dalam keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang ini.