KOTA SAMARAHAN: Selain membantu sekolah di bawah Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sarawak komited untuk membantu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJK), di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, oleh sebab itu, sebuah jawatankuasa khas yang diketuai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr. Sim Kui Hian, ditubuhkan bagi membantu menguruskan bantuan untuk sekolah-sekolah ini.

“Kita memerlukan jawatankuasa ini untuk mengkoordinasikan serta membantu menguruskan permohonan yang diterima oleh Kerajaan Sarawak daripada SJK ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Perasmian Pembukaan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Bako, di sini hari ini.

Katanya, sekiranya ada bantuan yang dikemukakan, beliau akan merujuk jawatankuasa ini terlebih dahulu sebelum membuat anggaran jumlah bantuan yang diperlukan untuk sekolah ini setiap tahun.

“Bagi tahun ini, Kerajaan Sarawak memperuntukan RM17 juta untuk sekolah Cina. Sebanyak RM8 juta digunakan untuk sekolah rendah Cina, manakala RM9 juta untuk sekolah menengah Cina,” katanya.

Sekolah ini penting bagi memperkayakan pelajar dengan ilmu pengetahuan khasnya dalam bidang sains dan teknologi. Ia merupakan persediaan kerajaan untuk menghadapi globalisasi ekonomi antarabangsa di seluruh dunia, pada masa hadapan, katanya.

Melalui sekolah ini, pelajar daripada pelbagai bangsa boleh memupuk persefahaman, sekali gus meningkatkan pengetahuan mereka.

“Justeru, dengan adanya dasar pendidikan, latihan dan geran yang disediakan, Sarawak berada di landasan yang tepat ke arah pembangunan masa depan,” katanya.