KUALA LUMPUR: Prihatin dengan masalah pelajar di kawasan luar bandar agar tidak ketinggalan dalam pembelajaran, Ahli Dewan Negara, Senator Susan Chemerai Anding telah mengemukakan isu tersebut kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam pertanyaan lisan di persidangan Dewan Negara semalam.
Menjawab menerusi jawapan bertulis, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah melaksanakan ‘Home-Based Learning’ melalui siaran TV Pendidikan, radio pendidikan dan serahan bahan rancangan pembelajaran kepada murid yang tidak mempunyai akses kepada talian internet dan alat peranti yang sesuai untuk pembelajaran secara dalam talian, sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Secara keseluruhan, KPM menyedari bahawa terdapat kelemahan dalam pelaksanaan ‘Home-Based Learning’ yang menyebabkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian agak terhad berbanding kaedah secara bersemuka.
Oleh yang demikian, apabila semua sekolah telah dibuka sepenuhnya pada 3 Ogos 2020, para guru telah dipertanggungjawabkan untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan murid mencapai tahap penguasaan minimum dalam setiap mata pelajaran yang diikuti.
Buat masa ini, KPM sedang merangka strategi pelaksanaan yang komprehensif dalam memperkasakan pelaksanaan pendidikan digital, termasuk ‘Home-Based Learning’.