KUALA LUMPUR: Penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff, telah memulakan tindakan saman berjumlah RM5 juta terhadap Hannah Yeoh dari DAP berikutan kecaman dan fitnahnya terhadap Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) itu.

Pada 13 September lalu, Hannah Yeoh yang merupakan Ahli Parlimen Segambut telah menghadiri satu program khusus untuk penganut Kristian di Dewan Masyarakat Menggatal bertajuk “Peranan Umat Kristian Dalam Pembangunan Negara”.

Dr Kamarul, ketika dihubungi oleh portal ini, berkata, beliau memuatkan poster majlis Hannah Yeoh bersama pertanyaan “Tunggang Agama Untuk Menang PRN?” kerana pada pendapatnya menggunakan agama untuk meraih undi adalah satu kesalahan.
Begitupun, Hannah Yeoh dalam kenyataan balas di Facebook beliau telah mengecam Dr Kamarul dengan berkata: “Sekali lagi pensyarah UUM ini mahu mainkan sentimen politik perkauman dan agama.”

Hannah Yeoh juga mendakwa: “Ianya jelas dalam pelbagai kenyataan dan tulisannya yang beliau begitu bencikan DAP. Jangan lupa, pensyarah yang sama jugalah yang mengkritik buku saya ‘Becoming Hannah’ dan takut berdepan Tun Mahathir dalam forum anjuran Sinar Harian suatu waktu dulu.”

“Bagi saya inilah satu-satunya ‘modal’ yang masih berbaki untuk dirinya – perkauman dan isu agama – yang telah biasa beliau gunakan di Semenanjung. Malang buat diri beliau, ini adalah Sabah, Negeri Di Bawah Bayu yang begitu meraikan dan menghormati kepelbagaian. Sentimen yang beliau mainkan bukan sahaja tidak diterima di Semenanjung dan kini di Sabah juga,” ujar Hannah Yeoh.

Menurut Dr Kamarul, ekoran kecaman dan fitnah ini, para pengikut Hannah Yeoh telah secara bergerombolan membuat pelbagai komen yang mengecam dan memfitnah beliau dengan seteruk-teruknya di laman Facebook beliau.

Menurut Dr Kamarul, kenyataan Hannah Yeoh ini sangat merosakkan imej beliau kerana ia antara lainnya menggambarkan Dr Kamarul menggunakan sentimen perkauman dan agama bagi meraih sokongan politik.

Kenyataan Hannah Yeoh ini juga menuduh Dr Kamarul menggunakan bangsa dan agama sebagai modal untuk mengumpulkan sokongan politik di Semenanjung Malaysia dan kini sedang memperluaskannya ke Sabah.

Malah Hannah Yeoh juga cuba menggambarkan Dr Kamarul sebagai ancaman kepada keharmonian kaum dan agama di Sabah khususnya dan di Malaysia amnya serta menggugat keharmonian kaum dan menimbulkan perbalahan antara penganut agama berbeza.

Oleh itu, Dr Kamarul telah mengarahkan Hannah supaya membuat deklarasi dan permohonan maaf secara terbuka di atas segala fitnah yang dinyatakan menuntut ganti rugi sebanyak RM5 juta yang akan dibayar oleh Hannah terus kepada Dr Kamarul dalam tempoh 7 hari.

Dr Kamarul bulan lalu juga telah memfailkan saman terhadap 10 pemimpin DAP dan 10 pemimpin PAN, yang majoritinya adalah Ahli-Ahli Parlimen, serta portal berita Malaysia Dateline dan portal berita Malaysia Kini berikutan kecaman dan fitnah terhadapnya.