KUALA LUMPUR: Berdasarkan data yang sedia ada sehingga Mac 2020, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah meluluskan sejumlah RM864.7 juta pelaburan dalam sektor perkilangan di Sarawak, melibatkan RM822 juta pelaburan langsung asing, dari negara Korea, China, Perancis dan lain-lain.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong berkata, pecahan sektor-sektor yang diceburi pelaburan langsung adalah seperti produk mineral bukan logam (RM710 juta); kayu dan produk kayu (RM60.4 juta); kelengkapan perabot (RM43 juta) serta kimia dan produk kimia (RM9.5 juta).
Beliau berkata demikian di persidangan Dewan Negara pada Isnin, bagi menjawab ke atas Perbahasan Titah DiRaja yang telah dikemukakan oleh Senator Zaiedi Suhaili yang menanyakan jumlah pelaburan asing yang diterima oleh negeri Sarawak setakat Julai 2020.