SERIAN: Seorang lelaki tempatan dicekup sejurus membawa dua buah kotak berisi dadah jenis syabu seberat 5.1 Kilogram(kg) keluar dari Pejabat Daerah Tebedu, Khamis lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata, suspek berusia 50 tahun itu diserbu oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Dadah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak bersama BSJN IPD Serian di hadapan utama pagar lokasi kejadian sekitar jam 3 petang.

Menurutnya, suspek ketika kejadian seorang diri dengan menaiki sebuah kenderaan jenis proton Iswara bagi mengambil kotak kepunyaannya yang tiba di Pejabat Daerah Tebedu menerusi perkhidmatan penghantaran Pos Laju.

“Hasil pemeriksaan pertama terhadap sebuah kotak berwarna hitam dibawa suspek menemui dua bungkusan berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine dianggarkan seberat 2 kg.

“Pemeriksaan lanjut terhadap sebuah lagi kotak berwarna cokelat seterusnya menemui tiga lagi bungkusan berisi ketulan sama seberat 3.1 kg.

“Berat kasar keseluruhan dadah yang ditemui hasil pemeriksaan di lokasi berjumlah 5.1 kg bersamaan nilai RM201,000.00,” jelasnya ketika mengesahkan kejadian menerusi sidang media di Dewan Seri Pengaman IPD Serian hari ini.

Tambahnya, turut dirampas sejumlah wang berjumlah RM14,000 serta sebuah motosikal jenis Y15ZR dan sebuah kereta jenis Proton Iswara milik suspek.

Susulan itu katanya, suspek bersama barangan kes dibawa ke Pejabat BSJN IPD Serian untuk tindakan lanjut.

Aidi turut mengesahkan hasil saringan awal air kencing turut mendapati suspek yang tidak mempunyai kesalahan jenayah lampau itu adalah negatif.

Beliau juga mendedahkan modus operandi barangan tersebut adalah menerusi perkhidmatan penghantaran Pos Laju yang beralamat dari Lapangan Terbang Senai, Johor Bahru diterbangkan ke Kuching sebelum dihantar ke Pejabat Daerah Tebedu.

Katanya, alamat penghantar bekalan terbabit yang disyaki sindiket pengedaran dadah bagaimanapun disahkan palsu.

Jelas beliau, kes kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan suspek boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Sementara itu, Aidi turut menegaskan pihaknya akan memperketatkan kawalan dan pemeriksaan terutamanya melibatkan syarikat perkhidmatan penghantaran di Sarawak.

Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Narkotik dan Dadah Sarawak ACP Jasmirol Jamaluddin dan Ketua Polis Daerah Serian DSP Aswandy Anis.