BINTANGOR: Semangat perpaduan ditunjukkan rakyat berbilang kaum di Sarawak semasa sambutan Hari Malaysia harus dikekalkan untuk tatapan generasi akan datang.
Tegas ADUN Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, usaha untuk mengekalkan perpaduan harus bermula di peringkat sekolah rendah lagi.
Katanya, sambutan Hari Malaysia merupakan detik yang cukup penting dan bermakna untuk rakyat pelbagai kaum di Sabah dan Sarawak yang merupakan lanjutan daripada sambutan Hari Kebangsaan yang disambut pada 31 Ogos.
Datuk Ding dalam pada itu menyeru masyarakat agar terus memberi sokongan penuh kepada Kerajaan Sarawak agar banyak lagi pembangunan infrastruktur disalurkan kepada penduduk di luar bandar.
Semasa Sambutan Perayaan Hari Malaysia bersama warga Sungai Padi & Warga SJK Tung Kwong semalam, Datuk Ding turut menyumbang RM50,000 kepada Sekolah Tung Kwong untuk menaik taraf bangunan baharu sekolah.