KUCHING: Dua bayi antara 25 individu terjejas setelah bangunan dua tingkat pekerja di lorong Simen Raya 2A Pending Industrial Estate(Shin Yang) musnah keseluruhan akibat kebakaran, semalam.

Komander Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Azileh Yuam berkata, kejadian kebakaran membabitkan bangunan asrama pekerja 12 pintu dilaporkan berlaku sekitar jam 9.15 malam.

Susulan itu katanya, sepasukan anggota dari tiga BBP Tabuan Jaya, Padungan dan Batu Lintang telah dikerahkan segera ke lokasi bagi melakukan operasi pemadaman dan menyelamat mangsa kebakaran.

Dedahnya, tindakan pantas pasukan operasi berjaya mengelakkan risiko letupan besar dengan memindahkan tangki minyak Diesel dan juga longgokan tayar yang berdekatan di lokasi kebakaran.

“Kebakaran melibatkan kawasan seluas 736 meter per segi dan setiap rumah didapati berkeluasan 29 meter x 8 meter per segi.

“Keadaan dapat dikawal daripada merebak namun menyebabkan bangunan tersebut musnah 100 peratus,” jelasnya menerusi satu kenyataan semalam.

Tambahnya, hasil pemeriksaan turut mengesahkan kesemua 25 mangsa kediaman dalam keadaan selamat dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan akibat kejadian.

Ujarnya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.37 malam.