KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Majlis Sukan Negara (MSN) akan terus menyokong pembangunan sukan di Negeri Sarawak bagi memastikan atlet pelapis dapat digilap untuk meneruskan kesinambungan atlet-atlet senior dan yang sedia ada.
Menurut Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Tuan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, ketika ini sebanyak 22 pusat latihan telah ditubuhkan di bawah Program Pelapis Negeri bagi 14 jenis sukan di bawah 16 disiplin di seluruh Negeri Sarawak seperti di Kuching, Miri, Sarikei dan Bintulu.
Ini melibatkan seramai 295 orang atlet yang menjalani latihan secara separuh masa dan 18 jurulatih bertauliah, jelas beliau.
Katanya, dalam usaha menjadikan pengumpulan bakat sukan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sentiasa menjalankan aktiviti sukan untuk semua di peringkat akar umbi.
Beliau menjelas Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak sentiasa menawarkan kerjasama dan khidmat nasihat kepada badan-badan sukan di peringkat daerah untuk program pembangunan sukan peringkat belia seperti penganjuran bersama dan promosi.
Antaranya pembangunan bola sepak, futsal, renang para, petanque, silat, Esport dan sebagainya.
“Bantuan turut diberikan untuk mencungkil bakat para belia di daerah-daerah, pengecaman bakat yang melibatkan beberapa sukan teras seperti kem bakat badminton, kursus instruktur kecergasan senamrobik, pertandingan esport, klinik pocket bike, kejohanan motocross, Liga Sukan Untuk Semua, Hari Sukan Negara, Bulan Sukan Negara dan banyak lagi.
“Kerjasama turut melibatkan penyelarasan pasukan-pasukan tempatan bagi mewakili bahagian ke peringkat negeri dan seterusnya ke peringkat kebangsaan,” katanya semasa soalan Senator Zaiedi Suhaili pada sesi Dewan Negara semalam.
Ujar beliau, KBS juga bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri terutama Pejabat Residen dan Daerah contohnya dalam penganjuran Samarahan Bridge Half Marathon, Pertandingan Esport, acara fun run, Pertandingan Orang Kuat dan Pertandingan Badan Cantik, Mr Simunjan dan lain-lain lagi.
Menyentuh mengenai cadangan penubuhan Sekolah Sukan Malaysia di Sarawak, beliau berkata KBS menyokong sebarang inisiatif pembangunan sukan di negeri ini termasuk pembinaan prasarana tersebut.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada perbincangan rasmi antara Kementerian Pendidikan dan KBS dalam hal tersebut, jelasnya lagi.