MULU: Penubuhan Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) telah memberikan impak yang positif kepada pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mulu.
Timbalan Speaker DUN Sarawak Dato Gerawat Gala berkata, penduduk kini mula merasai pembangunan yang telah dibawa Kerajaan Sarawak menerusi HDA.
“Projek pembinaan jalan raya yang berjumlah RM244 juta ini telah diluluskan menerusi HDA.
“Pelan HDA memberikan keuntungan kepada penduduk yang tinggal di kawasan Kedaya Telang Usan.
“Selain dari pembinaan jalan raya, rumah-rumah panjang yang termasuk dalam pelan pembangunan HDA ini juga akan menerima bekalan air menerusi Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) dan bekalan elektrik 24 jam menerusi Skim Pembekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar (SARES),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang diadakan di Kampung Long Makabar, Sungai Silat Ulu Baram pada Sabtu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu itu turut mengumumkan beberapa projek yang telah diluluskan di kawasan DUN Mulu.
“Antara projek yang telah diluluskan ialah naik taraf jalan kampung oleh Ahli Parlimen Baram berjumlah RM100,000, Jalan Kampung Long Makabar sebanyak RM100,000, baik pulih bekalan air di Long Makabar berjumlah RM20,000 dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Long Makabar sebanyak RM8,000.
“Turut diluluskan peruntukkannya ialah Kaum Ibu Long Makabar berjumlah RM8,000, Gereja BEM Long Makabar berjumlah RM8,000, Jalan Kampung Long Selawan berjumlah RM100,000, baik pulih Jalan Kampung Long Jeeh berjumlah RM100,000 dan Jalan-Jalan Kampung Lio Matu berjumlah RM100,000,” ujarnya.
Penduduk Long Makabar juga akan menerima bekalan elektrik melalui Projek SARES pada penghujung Disember 2020.
Terdahulu, Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau meminta penduduk di kawasan DUN Mulu terus memberikan sokongan kepada Dato Gerawat pada pilihan raya akan datang untuk terus membangunkan kawasan DUN Mulu ini.
Hadir sama Ketua Kaum Long Makabar Matius Erang, Pegawai Jabatan Kebajikan Bahagian Miri Bessy Mujan, Konsultan HDA Pembinaan Jalan Raya dari Long Makabar ke Long Jekitan Tan Sri Yii Min Seng dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Kawasan Silat.