SERIAN: Penduduk luar bandar diingatkan untuk tidak terpengaruh dengan individu yang sering mencetuskan provokasi menjelang pilihanraya akan datang.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pasti ada pelbagai cerita rekaan yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab dalam usaha menghasut rakyat terhadap wakil rakyat masing-masing.

“Mereka akan datang ke kampung anda, bertanya apa yang belum dilakukan oleh YB (ADUN) dan apa yang anda tidak berpuas hati. Mereka tidak akan bertanya tentang perkara-perkara baik yang telah dilakukan oleh YB untuk anda semua.

“Malah, orang-orang seperti ini kemudiannya akan hilang selepas pilihanraya. Maka kita harus menjaga perpaduan kita selepas itu,” katanya semasa lawatan ke Projek Tagang Kpg Terbat, pada Ahad.

Tambah Karim, ini adalah sebab mengapa rakyat perlu berhati-hati semasa pilihanraya kerana beliau tidak mahu melihat rakyat Sarawak berpecah-belah.

Ujarnya, negeri ini harus dijaga oleh rakyatnya sendiri seperi yang diinginkan oleh rakyat.

“Kita tidak mahu merujuk semuanya ke Kuala Lumpur. Itu bukan caranya. Negeri kita telah diuruskan dengan cara kita, cara sebelum Malaysia dibentuk, “katanya.

Mengulas mengenai perkara berkenaan, beliau menggesa rakyat untuk tidak membiarkan parti luar memerintah negeri ini.