KUCHING: Syarikat Petroleum Nasional Berhad (PETRONAS) dijangka akan menyelesaikan bayaran Cukai Jualan Negeri (SST) bagi tahun 2019 ke atas petroleum Sarawak selewat-lewatnya pada tahun ini.

Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, jumlah bayaran tersebut dianggarkan lebih RM2 bilion, namun ianya masih dalam pengiraan.

“Kita tunggu sehingga semua rundingan selesai hujung bulan September ini. Ini yang kita persetujui dalam mesyuarat jawatankuasa bersama.

“Jadi, saya yakin semua pembayaran akan dibuat dan paling lewat tahun ini, tetapi tarikh sebenar bayaran saya belum pasti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Baik Pulih Surau Darul Nur Dini di Kampung Sungai Midin pada Ahad.

Jawatankuasa itu ditubuhkan untuk mempermudah rundingan antara Kerajaan Negeri Sarawak dan kerajaan Persekutuan.

Jawatankuasa itu dipengerusikan bersama oleh Dato’ Sri Fadillah dan Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz bersama dengan Kerajaan Negeri Sarawak dan Petronas. 

Bayaran SST Petronas Dijangka Diselesaikan Pada Tahun IniKUCHING: Syarikat Petroleum Nasional Berhad (PETRONAS)…

Posted by Unit Komunikasi Awam Sarawak-UKAS on Monday, September 14, 2020