KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan meneruskan Program Bandar Selamat di Sarawak.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Sri Dr Ismail Abdul Muttalib menjelaskan KPKT telah menyalurkan sebanyak RM14.91 juta untuk Program Bandar Selamat di 5 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Sarawak iaitu Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Majlis Bandaraya Miri (MBM), Majlis Bandaraya Sibu (MBS) dan Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dari tahun 2017-2019.
Katanya, daripada jumlah itu pecahan pelaksanaan adalah 84 unit CCTV, 254 unit elemen pencahayaan, 2,700 meter rel penghadang pejalan kaki, 10 unit elemen radaan trafik, 48 unit papan tanda keselamatan, 40 unit tempat letak motosikal berkunci dan 12 unit cermin keselamatan.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Senator Zaiedi Suhaili semasa sesi Dewan Negara semalam.
Menjawab soalan tambahan Senator Zaiedi, Dato’ Sri Dr Ismail berkata KPKT melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah memohon pembinaan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Sarawak dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) Rolling Plan 1 Tahun 2021 dengan kos projek berjumlah RM48 juta yang dirancang dibina di Samarahan dengan keluasan tapak 10.19 hektar.
“Pada masa sama, projek menaiktaraf simulator ABPM Wilayah Sarawak yang sedia ada di kawasan Bau juga dipohon dalam RMK12 tahun 2021 bagi mempertingkatkan lagi kemudahan latihan,” katanya.
Jelasnya, JPBM Saarwak turut mempunyai pangkalan udara sementara yang beroperasi di Lapangan Terbang Miri dengan kekuatan keanggotaan tetap seramai 21 orang dan dibantu tujuh pegawai dari Pangkalan Udara Bomba Subang yang bertugas secara bergilir selama dua minggu sekali.
Tambah beliau, pangkalan udara tersebut dilengkapi dengan dua buah helikopter jenis MI171 dan dibantu dengan sebuah lagi helikopter AW189 dari Pangkalan Udara Subang yang ditetapkan secara sementara.
Pegawai bertugas termasuk juruterbang (2), air quartermaster (2), pasukan khas udara bomba (2), kejuruteraan (1) dan bertugas secara tetap (7).
“Untuk memperkasakan Unit Udara Dan Penyelamat Sarawak, JPBM dalam proses mengenal pasti tapak yang sesuai bagi pembinaan sebuah Pangkalan Udara Bomba tetap dalam RMK12,” tambahnya.