KUCHING: Orang muda harus mempunyai visi, kreatif dan menguasai pengurusan ekonomi berteraskan teknologi kerana untuk mencipta Sarawak maju menjelang 2030, tadbir urus negeri ini harus berpaksikan teknologi.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata,  pada masa akan datang, kita akan kepada bergantung kepada cip untuk menyimpan maklumat dan teknologi yang dapat menjadi peranti pintar.

“Sekarang ini semuanya mudah, semuanya bergantung kepada teknologi. Berbanding zaman saya dahulu, kami menggunakan komputer yang besar dan menggunakan pengetik masa untuk merekod kehadiran.

“Namun sekarang semua mudah, misalnya kita menggunakan pencetak 3D. Justeru, orang muda mesti dilengkapkan dengan pembaharuan ini termasuk keselamatan siber dan data raya,” katanya dalam pertemuan ekslusif di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia.

Mengulas mengenai peranan anak muda untuk meneruskan perjuangan pemimpin sekarang pada masa depan, Adun Satok tidak menolak andaian bahawa generasi sekarang seakan-akan bersedia untuk memikul tanggungjawab mengemudi Sarawak pada masa depan.

“Namun generasi baharu hendaklah dilengkapkan dengan ilmu yang terkini dan juga dari sudut bagaimana mereka boleh memahami latar belakang negeri ini.

“Mereka juga perlu melihat masa depan supaya dapat memainkan peranan apabila keadaan dan landskap kepimpinan masa depan berubah rentak,”katanya.

Kata Abang Johari, sekarang ini keadaan berlainan kerana banyak perkara yang berpunca daripada ekonomi.

“Geopolitiknya sudah bertukar dan semuanya berkisar kepada perkara yang berhubung kait dengan ekonomi dunia hari ini.

“Rantau ini pula dikatakan banyak hasil minyak dan gas. Kita mesti melihat kepada perubahan geopolitik dan saya rasa ia akan berterusan hingga ke generasi baharu,” katanya.

Justeru katanya, pemimpin akan datang mesti memahami keadaan geopolitik dunia kerana satu-satunya perkara yang akan memberi kelebihan kepada negara adalah dari segi teknologi.